Nor Fazlina Abdul Rahim


Tanah Merah: Kementerian Kerja Raya mengenal pasti sebanyak 94 lokasi bencana di seluruh negara, setakat ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, daripada jumlah itu, ia membabitkan 42 jalan Persekutuan dan 52 jalan negeri di lapan negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang dan Negeri Sembilan.

Menurutnya, lokasi bencana berkenaan membabitkan 42 Jalan Persekutuan dan 52 jalan negeri di lapan negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang dan Negeri Sembilan.

"Daripada keseluruhan 94 lokasi bencana, 61 lokasi dikenal pasti membabitkan banjir, cerun runtuh (19 lokasi); jalan mendap (enam lokasi); jalan runtuh (lima lokasi) dan jambatan rosak atau runtuh membabitkan tiga lokasi.

"Terengganu dan Kelantan mencatatkan daerah paling banyak terjejas iaitu masing-masing enam daerah, Pahang dan Negeri Sembilan masing-masing empat daerah.

"Selain itu, Kedah dan Johor masing-masing dua daerah dan Selangor serta Perak masing-masing satu daerah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Jambatan Kusial, di sini, yang mengalami runtuhan dan hakisan tebing akibat banjir pada Ahad lalu.

Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun berkata, jumlah kerugian akibat bencana berkenaan belum diperoleh kerana masih dalam proses mengumpul maklumat.

LOKASI kerosakan Jambatan Jalan Machang-Jeli akibat bencana banjir di Bawah Jambatan Kusial Tanah Merah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
LOKASI kerosakan Jambatan Jalan Machang-Jeli akibat bencana banjir di Bawah Jambatan Kusial Tanah Merah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Kita akan berusaha secepat mungkin untuk proses baik pulih dan semestinya memerlukan kos yang tinggi," katanya.

Mengulas mengenai lawatannya di dua lokasi di Kelantan, Alexander berkata, pembaikan bagi Jalan Persekutuan FT003 iaitu laluan Kota Bharu-Kuala Terengganu akibat ditenggelami air pada Ahad lalu membabitkan anggaran kos berjumlah RM850,000.

"Manakala, bagi kos baik pulih tebing runtuh di bawah Jambatan Kusial, ia belum dapat dipastikan lagi jumlah sebenar, namun jambatan berkenaan selamat digunakan kerana tidak membabitkan kerosakan struktur.

"Namun begitu, pemantauan rapi dan pemeriksaan secara fizikal oleh pihak JKR dan konsesi tetap dilaksanakan dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 2:30 PM