POSTER palsu yang tular. FOTO Ihsan Pembaca
POSTER palsu yang tular. FOTO Ihsan Pembaca
Muhaamad Hafis Nawawi

Ampang Jaya: Seorang wanita akan didakwa di Mahkamah Majistret Ampang esok atas pertuduhan melakukan penipuan berhubung penganjuran konsert yang tidak wujud, kononnya membabitkan beberapa artis popular.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pertuduhan akan dilakukan jam 8.30 pagi esok.

Menurutnya, wanita berusia 48 tahun yang didapati memiliki dua rekod lampau termasuk berkaitan kes penipuan itu, ditahan pada jam 10.40 malam 26 Oktober lalu.

Media sebelum ini melaporkan perbuatan wanita itu mula dikesan apabila seorang penyanyi 'rock' tanah air berusia 53 mendapat maklumat daripada rakannya bahawa terdapat terdapat satu hantaran di Facebook mempromosikan sebuah konsert yang dijadualkan berlangsung pada 4 Februari depan di Kota Kinabalu, Sabah.

Suspek dikatakan menawarkan penjualan tiket konsert berharga RM199 hingga RM649.

Penyanyi itu menafikan ada ditawarkan atau menandatangani sebarang kontrak untuk menyertai konsert berkenaan.

Terdahulu tular di media sosial satu poster konsert bertajuk 'Unplugged Living Legend' yang memaparkan artis popular tanah air seperti Datuk Awie, Ziana Zain, Ella dan Erra Fazira selain vokalis kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani, yang akan diadakan di Sabah tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 11:03 PM