Noor Hidayah Tanzizi


Ampang: Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan cubaan menipu rakan penyanyi dan pelakon Datuk Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 53, berhubung penganjuran konsert yang tidak wujud pada Oktober lalu.

Norhayati Maslinda Chew Asmawie Chew, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa cuba memperdaya penganjur acara, Murbarak Akhtar Mohd Aris, 52, dengan mendorongnya untuk membeli tiket konsert Unplugged Living Legend yang tidak wujud bagi menyerahkan wang untuk dimasukkan ke akaun Bank Islam milik tertuduh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Bukit Mulia, Bukit Antarabangsa di sini, 10.30 malam pada 24 Oktober lalu.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama.

Seksyen 417 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, manakala bagi Seksyen 511 memperuntukkan hukuman penjara tidak boleh lebih daripada setengah daripada tempoh paling lama yang diperuntukkan bagi kesalahan itu, jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ameera Sam Kamaruddin mencadangkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff meminta pengurangan wang jaminan dalam rayuan kerana wanita itu tidak berkerja dan menanggung empat anak berusia antara lima hingga 24 tahun.

Selain itu, suami tertuduh sudah meninggal dunia pada 18 Januari lalu selain tertuduh mempunyai penyakit slip disc.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 21 Februari depan.

Tertuduh kemudiannya membayar wang ikat jamin itu.

Media sebelum ini melaporkan perbuatan wanita itu mula dikesan apabila penyanyi 'rock' tanah air mendapat maklumat daripada rakannya bahawa terdapat terdapat satu hantaran di Facebook mempromosikan sebuah konsert yang dijadualkan berlangsung pada 4 Februari depan di Kota Kinabalu, Sabah.

Terdahulu tular di media sosial satu poster konsert bertajuk 'Unplugged Living Legend' yang memaparkan artis popular tanah air seperti Awie, Ziana Zain, Ella dan Erra Fazira selain vokalis kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani, yang akan diadakan di Sabah tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 12:27 PM
NORHAYATI Maslinda Chew dihadapkan di Mahkamah Majistret Ampang atas pertuduhan melakukan cubaan menipu. FOTO Azhar Ramli
NORHAYATI Maslinda Chew dihadapkan di Mahkamah Majistret Ampang atas pertuduhan melakukan cubaan menipu. FOTO Azhar Ramli