Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon Datuk Awie menyeru individu yang pernah berurusan dengan wanita yang terbabit penganjuran konsert tidak wujud membabitkannya dan beberapa artis lain supaya tampil membuat laporan polis.

Bagaimanapun, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 53, berkata, beliau tidak mengetahui jumlah sebenar mangsa jika ada yang terpedaya dengan hebahan konsert itu.

"Saya menyeru kepada mereka (jika ada) yang sudah membeli tiket konsert itu membuat laporan (polis). Kita tidak tahu berapa ramai yang terkena (tertipu).

"Kalau cerita (harga) RM300 hingga RM400 itu duit juga, bukan senang mahu cari duit, jadi saya berharap sangat mana-mana mereka yang (sudah) tertipu boleh hadir membuat laporan kerugian," katanya ketika ditemui pemberita perkarangan Mahkamah Majistret Ampang, di sini, hari ini.

AWIE ketika hadir di Mahkamah Majistret Ampang. FOTO Azhar Ramli
AWIE ketika hadir di Mahkamah Majistret Ampang. FOTO Azhar Ramli

Awie yang juga duta bagi kempen Anti-Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berharap perkara seumpama itu tidak berulang kerana gambarnya bersama penyanyi lain digunakan untuk penipuan.

"Saya tidak kenal (dia). Saya tak tahu dia siapa dan dia tinggal di mana juga tidak tahu dan tiada satu perbincangan juga (mengenai konsert itu).

"Saya tak mahu berlaku lagi selepas ini penipuan konsert (seperti ini). Semoga perkara ini menjadi pengajaran kepada mereka di luar sana supaya tidak ada lagi scam konsert," katanya.

Media sebelum ini melaporkan perbuatan wanita itu mula dikesan apabila penyanyi 'rock' tanah air mendapat maklumat daripada rakannya bahawa terdapat terdapat satu hantaran di Facebook mempromosikan sebuah konsert yang dijadualkan berlangsung pada 4 Februari depan di Kota Kinabalu, Sabah.

Suspek dikatakan menawarkan penjualan tiket konsert berharga RM199 hingga RM649.

Penyanyi itu menafikan ada ditawarkan atau menandatangani sebarang kontrak untuk menyertai konsert berkenaan.

Terdahulu tular di media sosial satu poster konsert bertajuk 'Unplugged Living Legend' yang memaparkan artis popular tanah air seperti Datuk Awie, Ziana Zain, Ella dan Erra Fazira selain vokalis kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani, yang akan diadakan di Sabah tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 12:46 PM