AHMAD Dhani. FOTO Arkib NSTP
AHMAD Dhani. FOTO Arkib NSTP
Agensi

"KAMI mahu jadi rock seperti Slank," kata ketua kumpulan rock popular Indonesia, Dewa 19 iaitu Ahmad Dhani, 48, mengimbau sejarah penubuhan kumpulan itu.

Dhani yang juga pemain keyboard dan penyanyi kumpulan itu berkata, Dewa 19 yang ditubuhkan pada 1986 itu pada mulanya memainkan muzik jazz dan fusion yang popular di Indonesia ketika itu.

Katanya, waktu itu Dewa 19 dikenali dengan nama Downbeat dan cukup meminati kumpulan jazz dan fusion Indonesia seperti Karimata, Krakatau, Spirit dan Emerald. Dhani juga adalah peminat penerbit, komposer dan pemuzik jazz legenda Indonesia, Indra Lesmana hingga hari ini.

"Saya sudah meminati muzik rock sejak berusia lapan tahun. Ketika itu semua sepupu saya sukakan muzik rock," katanya.

Menurut Dhani, dalam usia itu juga dia sudah menjadi peminat fanatik kumpulan rock legenda, Queen.

Dhani berkata, pada 1991 mereka mengubah haluan kepada muzik rock dan nama Downbeat ditukar kepada Dewa yang juga gabungan nama anggotanya iaitu Dhani, Erwin (bass), Wawan (dram), Andra (gitar) dan Ari Lasso (penyanyi).

"Ketika itu, kami semua meminati muzik rock. Kebetulan Slank sudah mula popular, jadi kami mahu menjadi seperti mereka," katanya.

Slank adalah kumpulan rock & roll terawal di Indonesia dan kini diiktiraf sebagai kumpulan rock nombor satu di negara itu.

Selain Slank, Dhani mengakui KLa Project adalah antara kumpulan diminatinya.

"Ketika itu, Slank dan KLa Project adalah idola saya. Sebenarnya Dewa 19 adalah gabungan Slank dan KLa Project. Rock kami adalah pengaruh daripada Slank, manakala muzik pop sofistikated itu daripada KLa Project," katanya.

KLa Project yang diasaskan penyanyi dan pemuzik popular Indonesia, Katon Bagaskara adalah artis legenda negara itu dan sudah menghasilkan sembilan album studio sejak 1989.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 11:56 AM