UNIT Dron PDRM memantau lokasi SAR di Father Organic Farm. FOTO Saifullizan Tamadi
UNIT Dron PDRM memantau lokasi SAR di Father Organic Farm. FOTO Saifullizan Tamadi
Muhaamad Hafis Nawawi


Hulu Selangor: Polis Diraja Malaysia (PDRM) buat pertama kalinya mempertontonkan situasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Jalan Genting Highlands-Batang Kali, di sini, secara langsung kepada media, hari ini.

Situasi berkenaan dirakam Unit Dron, Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman, selama dua sesi diketuai Asisten Superintendan Nitas Camillus dengan setiap satu sesi mengambil masa selama 45 minit.

Berdasarkan situasi kejadian rakaman menunjukkan kerja pengorekan tanah membabitkan pelbagai jenis jentera berat sedang dilaksanakan sekitar 5 petang tadi.

Dapat dilihat juga puluhan penyelamat dari pelbagai agensi pasukan keselamatan terutama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Smart melakukan operasi pencarian baki sembilan mangsa yang masih hilang.

Rakaman langsung itu turut memaparkan kerja pencarian tertumpu di semua sektor membabitkan Hillview (sektor A) Farmview (sektor B) dan Riverside (sektor C).

Dapat dilihat juga sebahagian besar dari ketiga-tiga sektor ini berisiko apabila keadaan tanah masih lembut dan basah akibat adanya pergerakan air selepas hujan lebat malam kelmarin.

Setakat ini operasi SAR masih berlangsung dengan kekuatan membabitkan 315 pegawai dan anggota.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 6:33 PM