Muhaamad Hafis Nawawi


Hulu Selangor: Tiada perkembangan terbaharu membabitkan penemuan sembilan mangsa di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Jalan Genting Highlands-Batang Kali, di sini, yang masuk hari kelima.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor  Wan Md Razali Wan Ismail berkata, walaupun pada sebelah tengah hari tadi, pasukan mencari dan menyelamat (SAR)  menemukan peralatan perkhemahan, selimut dan khemah di Riverside (sektor C), selepas penggalian dilakukan tidak menemukan mangsa.

Menurutnya, penemuan itu membangkitkan semangat anggota SAR dan usaha pencarian masih belum berakhir dan diteruskan di sektor C.

"Semalam kita memfokuskan pada Sektor A, proses penggalian dilakukan sebanyak tiga kali namun tetap negatif.

"Cuaca yang baik hari ini juga membantu tugas SAR namun aliran air bergerak dari atas ke Riverside turut memberi cabaran kerana tanah lembik dan berair," katanya kepada pemberita pada sidang media di lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga memaklumkan tiada pergerakan baharu di cerun kawasan runtuhan terbabit setakat ini.

"Kita akan teruskan operasi SAR ini dengan memfokuskan di Sektor C dengan menggunakan 11 excavator (jentera pengorek) dan kekuatan 150 pegawai serta anggota SAR," katanya.

PAPARAN langsung dari udara lokasi SAR tanah runtuh yang dilakukan Unit Dron PDRM di Father Organic Farm. FOTO Saifullizan Tamadi
PAPARAN langsung dari udara lokasi SAR tanah runtuh yang dilakukan Unit Dron PDRM di Father Organic Farm. FOTO Saifullizan Tamadi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 7:49 PM