MAYAT mangsa terakhir dibawa keluar dari lokasi kejadian. FOTO BERNAMA
MAYAT mangsa terakhir dibawa keluar dari lokasi kejadian. FOTO BERNAMA
Muhaamad Hafis Nawawi


Hulu Selangor: "Ketika membuat pemantauan di tebing di kawasan Sektor A (Hillview) selepas excavator (jengkaut) mengorek tanah saya terlihat cecair hitam di mana jika mengikut pengalaman ia adalah cecair dari badan manusia," kata Penolong Kanan Penguasa Bomba Juyana @ Azlan Mus yang berjaya menemui mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di Jalan Genting-Batang Kali di sini, petang tadi.

Juyana berkata, beliau kemudian terus ke lokasi dan mengorek menggunakan alat sekop sebelum terhidu bau mayat.

"Saya kemudian mengarahkan anggota SAR (mencari dan menyelamat) datang untuk mengorek dan mengeluarkan mangsa yang tertanam sekitar 1.5 meter di dalam beg tidur dengan lengkap berpakaian.

"Bau mayat itu tidak kuat kerana kanak-kanak itu berada di dalam beg tidur namun kepalanya sedikit terbenam ke dalam tanah," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, beliau bersyukur kerana melalui taktikal SAR yang dilaksanakan itu akhirnya berjaya juga menemui mangsa terakhir.

"Taktikal SAR yang kita laksanakan ini tercapai apabila berjaya menemui mangsa terakhir petang tadi.

"Pada sebelah pagi itu, kita memulakan pencarian bermula dari kawasan khemah mangsa dengan menggunakan enam excavator (jengkaut)," katanya.

Beliau berkata, peringkat awal kerja-kerja mengalihkan tanah runtuh dilakukan dan selepas lapisan dari tanah asal tinggal satu meter mereka mula menjalankan pencarian kerana menjangkakan mangsa berada di dasar runtuhan itu.

"Pencarian juga dijalankan menggunakan unit anjing pengesan (K9) dan pada sebelah petang itulah ketika membuat pemeriksaan terlihat cecair hitam itu.

"Aliran air itu bukanlah berterusan mengalir, ia ada terhenti tetapi selepas melihatnya saya terus ke situ sebelum akhirnya menemui mangsa," katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan penemuan aliran cecair di tebing disyaki cecair mayat oleh pegawai penguasa kanan bomba yang menjalankan kerja operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sektor A berjaya menemui mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di Jalan Genting-Batang Kali di sini, petang tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata, mangsa terakhir itu ditemui di tebing kira-kira empat meter dari tapak perkhemahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 11:23 PM