GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Batang Kali: Faktor jantina tidak menjadi alasan untuk menjadi anggota penyelamat dan segalanya dianggap cabaran untuk berjaya dalam menjalankan tugas demi agama, bangsa dan negara.

Pegawai Pasukan Khas Angkatan Pertahanan Awam (Paspa) Leftenan Muda (PA) Amirah Syahirah Mohd Nor, 23, berkata bertugas bersama anggota lelaki tidak janggal baginya tetapi satu tanggungjawab yang harus digalas.

"Sebagai pasukan khas, kami telah dilatih untuk melakukan tugas-tugas khusus tanpa mengira jantina kerana apa jua bentuk bencana atau situasi, haruslah dibantu tanpa memikirkan alasan yang tidak logik," katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui ketika bertugas di lokasi kejadian tanah runtuh di Gohtong Jaya, di sini, yang beroperasi di situ sejak hari pertama kejadian, Jumaat lalu.

Amirah Syahirah berkata, selepas berhari-hari berada di lokasi kejadian, beliau semakin serasi bertugas bersama pasukan penyelamat dan kesemuanya saling bantu-membantu walaupun baru sahaja bertemu di lokasi bencana.

Beliau bersyukur kerana kerjasama sesama pasukan, walaupun berbeza uniform dan pangkat memudahkan tugas yang dilaksanakan bagi memastikan operasi mencari dan menyelamat mangsa bencana berjaya dilaksanakan.

"Sebagai seorang wanita memang agak sukar melaksanakan tanggungjawab berbanding lelaki.

"Sebagai contoh asas untuk ke bilik air, tidur atau mengemaskan diri atau solat kesemuanya memerlukan lokasi yang sesuai, tetapi Alhamdulillah mungkin pada hari pertama agak sukar," katanya.

Beliau berkata, namun semuanya sudah ditambah baik dan semua anggota penyelamat mendapat kemudahan yang selesa untuk membersihkan diri dan berehat melepaskan lelah selepas bertugas.

"Saya bersyukur sepanjang perjalanan operasi menyelamat, pihak pengurusan daripada semua pihak pengurusan bencana di lokasi kejadian berusaha memperbaiki kemudahan penyelamat dan memastikan kesemua kemudahan kami termasuk makan dan minum terjaga," katanya.

Ditanya sama ada keluarga risau mengenai pembabitannya dalam Paspa APM, beliau berkata, sebagai anak perempuan, pastinya menjadi kerisauan keluarga kerana bertugas di luar apatah lagi dalam operasi menyelamat.

"Saya telah menjelaskan keinginan saya untuk menjadi penyelamat, yang berisiko untuk sebarang kemungkinan kemalangan dan mereka (keluarga) akur dan merestui kerjaya yang saya impikan ini.

"Saya ingin menggalakkan kaum wanita juga untuk turut menyertai pasukan penyelamat seperti saya, malah dapat buktikan kita juga mampu menjadi penyelamat yang hebat," katanya.

Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi pada Jumaat lalu di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali itu setakat ini menyaksikan 61 selamat, 24 nyawa terkorban dan sembilan lagi mangsa masih hilang daripada keseluruhan 94 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 4:09 PM