Rosli Ilham


Kemaman: "Saya nekad untuk membantu selepas mendapati orang ramai tidak berani menolong mangsa, "kata Muhammad Zulfikal Asmadi selepas berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan yang hampir lemas ketika mandi di Pantai Penunjuk Kijal, dekat sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun itu dihanyutkan arus deras ke tengah laut.

Sebelum kejadian, kanak-kanak terbabit dikatakan bersama ahli keluarganya yang tinggal di Seri Bandi Kemaman datang berkelah di pantai terbabit sebelum mandi di situ.

Muhammad Zulfikal,14, berkata, sebelum kejadian dia duduk di atas sebuah wakaf dan berbual dengan sekumpulan nelayan yang juga rakan-rakan ayahnya.

"Jarak wakaf dengan lokasi kejadian kira-kira 200 meter dan saya tidak perasan ada orang berkelah dan mandi di situ.

"Tiba-tiba saya terdengar jeritan seseorang meminta tolong sebelum saya berlari ke tempat kejadian dan mendapati mangsa dalam keadaan tenggelam timbul, "katanya ketika ditemui di rumahnya Kampung Pantai Penunjuk, hari ini.

Menurutnya, ketika itu, selain ayah kanak-kanak terbabit serta orang ramai tidak berani untuk memberi bantuan kerana ketika itu ombak sangat kuat.

"Ombak ketika itu kira-kira satu meter dan saya bergegas pulang ke wakaf sebelum meminta seorang rakan mengusung sampan ke tempat kejadian.

"Saya ketika itu hilang ketakutan kerana niat saya untuk menyelamatkan mangsa dan saya mengayuh sampah menuju ke arah kanak-kanak yang lemas itu, "katanya yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan KIjal.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia terpaksa mengambil masa untuk menghampiri mangsa kerana sampan yang dinaikinya itu sering hilang arah akibat arus deras dan dipukul ombak besar.

"Saya mengerah segala tenaga yang ada mendayung sampan itu sebelum menghampiri mangsa.

"Saya minta mangsa bergantung dengan kuat pada bahagian belakang sampan dan mengayuh dengan laju untuk sampai ke daratan, "katanya.

Katanya, sebaik berjaya menyelamatkan mangsa, dia kemudiannya segera pulang ke rumah kerana keletihan.

"Mangsa kemudiannya dibawa ahli keluarganya ke Klinik Kesihatan berhampiran sebelum dihantar ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan.

"Ini adalah pengalaman pertama dalam hidup saya menyelamatkan nyawa mangsa lemas, "katanya.

Muhammad Zulfikal berkata, dia berharap supaya pengunjung ke pantai itu supaya tidak mandi kerana ketika ini musim tengkujuh.

"Sudah ramai yang menjadi korban ketika mandi di pantai ini dan saya berharap tiada lagi kejadian lemas berulang kembali di sini," katanya.

 Muhammad Zulfikal Asmadi menunjukkan di mana lokasi dia menyelamatkan mangsa lemas. Foto Rosli Ilham
Muhammad Zulfikal Asmadi menunjukkan di mana lokasi dia menyelamatkan mangsa lemas. Foto Rosli Ilham

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 5:32 PM