Zaid Salim


Kemaman: Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dikhuatiri lemas manakala dua rakannya terselamat dalam kejadian di alur sungai Kuala Kemaman, berhampiran Pantai Marina, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian jam 4.30 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebelum kejadian, mangsa, Muhammad Aiman Asyraf Saharulzaman, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Chukai dikatakan ke lokasi bersama dua rakannya untuk bermain air.

Difahamkan, mangsa yang tinggal di Taman Bukit Kuang Sejahtera, di sini, berbasikal ke lokasi kejadian untuk mandi-manda bersama dua lagi rakannya jam 3 petang.

"Ketika mandi, tiga kanak-kanak terbabit dikatakan hampir lemas berikutan arus deras akibat hujan lebat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Hanyan berkata, dua rakan mangsa, Asyraf Mohd Saiful Azhar, 12, dan Wan Wafiuddin Wan Mohd Dzulkhairy, 9, masing-masing murid SK Bukit Kuang berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa hilang dibawa arus.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) giat dilakukan dengan kekuatan 50 anggota membabitkan PDRM, Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemaman dan Chukai serta Angkatan Pertahanan Awam (APM).

OPERASI mencari dan menyelamat mangsa dijalankan. FOTO Zaid Salim
OPERASI mencari dan menyelamat mangsa dijalankan. FOTO Zaid Salim

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 8:43 PM