GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Samadi Ahmad


Putrajaya: Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat memohon kerjasama orang ramai mengesan ibu kandung dan waris kepada bayi lelaki yang ditinggalkan berdekatan pintu rumah di Saujana Impian, Kajang pada 17 November lalu.

Pelindung Kanak-Kanak, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat, Nur Shafizza Abu Bakar berkata, bayi itu dianggarkan lahir tujuh hingga 10 hari semasa ditinggalkan.

Menurutnya, bayi itu berada dalam keadaan tidak berpakaian dan hanya memakai lampin pakai buang serta diletakkan di kerusi jam 6.45 petang ketika ditemui.

Katanya, ketika ini bayi berkenaan ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengikut Seksyen 25 (2) Akta Kanak-Kanak 2001 sejak 8 Disember lalu.

"Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai ibu kandung dan waris bayi berkenaan diminta menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 10:52 AM