MUHAMMAD Naim Najmi Abdullah. FOTO ihsan JKM
MUHAMMAD Naim Najmi Abdullah. FOTO ihsan JKM
Noorazura Abdul Rahman


PEJABAT Kebajikan Masyarakat Daerah Sik sedang mengesan waris kanak-kanak yang ditinggalkan kepada sebuah keluarga di Kampung Sungai Senam, Sik pada Februari 2018.

Pelindung Kanak-Kanak, Syarol Anwar Adnan berkata, Muhammad Naim Najmi Abdullah yang kini berusia setahun 11 bulan berada di Rumah Perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Ketika bayi, Naim ditinggalkan di rumah sebuah keluarga. Atas sikap prihatin keluarga terbabit, mereka menghubungi JKM dan diserahkan kepada pihak saya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Syarol Anwar berkata, pihaknya cuba mengesan ibu Naim yang dikenali sebagai Zurainne A Hamid yang beralamat terakhir di Kampung Bakar Arang, Sungai Petani.

Katanya, kali terakhir ibu kandungnya dijumpai pada September 2019 ketika dia datang melawat Naim.

"Usaha mengesan warisnya menemui jalan buntu. Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai Naim boleh menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Sik di 04-4690230," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 6:02 PM