AHLI Lembaga Pengarah MFL, Mohd Joehari Ayub menyerahkan cenderahati kepada Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Datuk Mansur Asun sambil disaksikan CEO MFL, Datuk Stuart Ramalingam (kiri) dan Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah, Terrance Edward Pudin (kanan) selepas mesyuarat MFL dan Lembaga Sukan Sabah di Kota Kinabalu. FOTO Izwan Abdullah
AHLI Lembaga Pengarah MFL, Mohd Joehari Ayub menyerahkan cenderahati kepada Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Datuk Mansur Asun sambil disaksikan CEO MFL, Datuk Stuart Ramalingam (kiri) dan Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah, Terrance Edward Pudin (kanan) selepas mesyuarat MFL dan Lembaga Sukan Sabah di Kota Kinabalu. FOTO Izwan Abdullah
Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengguna pakai dua sistem Video Pembantu Pengadil (VAR) bagi meningkatkan mutu pengadilan perlawanan dalam saingan Liga Super pada musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam, berkata dua sistem itu ialah Sistem Keterlihatan Dipertingkat (EVS) dan Goal Sport VAR System.

Katanya, Sabah menjadi negeri pertama melabur untuk pemasangan Goal Sport VAR System di Stadium Likas selepas Sabah FC layak ke saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada tahun lalu.

Berikutan itu, katanya kedua-dua sistem itu dibenar digunakan dalam perlawanan Liga Super, namun Goal Sport VAR System di Sabah dijangka hanya dapat dilaksanakan selepas Jun depan setelah pengadil diberi latihan.

Bagi perlawanan Sabah FC menentang Pulau Pinang FC di Stadium Likas, yang dijadual bermula jam 5.45 petang ini, katanya MFL menggunakan Sistem EVS yang dibawa dari Semenanjung.

"Sistem (VAR) yang digunakan hari ini adalah sistem yang dibawa dari Semenanjung iaitu EVS yang digunakan oleh MFL ketika ini.

"GOAL System dalam stadium mungkin digunakan dalam perlawanan hadapan selepas bulan Jun, sebab kita perlu adakan latihan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat MFL dan Lembaga Sukan Sabah, di sini, hari ini.

Ramalingam berkata, bagi penggunaan sistem EVS di Semenanjung, pihak MFL menggunakan empat trak mudah alih untuk membawa kelengkapan ke stadium yang menjadi venue Liga Malaysia musim ini.

Bagi Sabah dan Sarawak, katanya MFL membawa unit sistem itu dari Semenanjung yang dipasang secara kekal di Stadium Likas dan di Kuching untuk digunakan apabila ada perlawanan Liga Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2024 @ 6:23 PM