Mustapa Mohamed (kanan) melihat sebahagian buah kelapa sebelum diproses  sewaktu melawat tempat pemprosesan santan di Kampung Kelong Hujung hari ini. FOTO BERNAMA
Mustapa Mohamed (kanan) melihat sebahagian buah kelapa sebelum diproses sewaktu melawat tempat pemprosesan santan di Kampung Kelong Hujung hari ini. FOTO BERNAMA
Siti Rohana Idris


Tumpat: Tiga isu utama mengenai Kelantan yang dikemukakan iaitu isu royalti petroleum, bekalan air dan pembangunan sedang diberi perhatian Kerajaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, semua isu itu diutarakan wakil kerajaan negeri yang mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, minggu lalu.

"Minggu lalu, Menteri Besar (Datuk Ahmad Yakob), timbalannya (Datuk Mohd Amar Nik Abdullah) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (Datuk Nazran Muhammad) adakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri.

"Perbincangan mengenai tiga perkara dibangkitkan iaitu royalti petroleum, pembangunan dan hal bekalan air di Kelantan.

"Semua isu itu dalam pertimbangan Kerajaan Pusat dan Perdana Menteri sudah arahkan untuk adakan pertemuan segera dalam kalangan kita," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melawat kampung miskin tegar di Kampung Kelong dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Terdahulu, Mustapa menerima taklimat daripada Ketua Jajahan Tumpat, Rusydee Abdullah, mengenai profil kemiskinan di jajahan itu.

Hadir sama, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelaboran, Mohd Adanan Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 4:45 PM