Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Media Prima Berhad (MPB) komited untuk menjalin kerjasama strategik dengan kerajaan negeri Kelantan.

Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, berkata menerusi pertemuan hari ini, pihaknya mengadakan perbincangan mengenai bentuk kerjasama yang bersesuaian.

"Hari ini kita membuat kunjungan hormat terhadap Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan kita berterima kasih kerana menerima kunjungan kami.

"Menerusi pertemuan hari ini, kita mengadakan perbincangan apa kolaborasi yang boleh kita lakukan dalam mewar-warkan berita menerusi platform media yang kita ada.

"Bidang pendidikan mungkin akan menjadi permulaan kepada kerjasama di antara MPB dan kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat di Pejabat Menteri Besar Kelantan.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Rafiq Razali dan Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Mohd Efendi Omar.

Beliau berkata, pihaknya juga turut berbincang mengenai radio Molek FM dan mendapati platform radio itu diterima begitu meluas di Pantai Timur.

Terdahulu, MPB melalui Tabung Bencana NSTP-Media Prima menyerahkan sumbangan sebanyak RM200,400 kepada mangsa banjir di Kelantan.

Sumbangan berkenaan diberikan kepada 1,002 keluarga yang terjejas banjir baru-baru ini di Pasir Mas dengan setiap keluarga menerima RM200.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 5:52 PM
Syed Hussian Aljunid (tiga kiri) hadir perjumpaan dengan Ahmad Yakob (dua kiri) selepas menyaksikan Penyerahan replika cek bernilai RM200,400,00 untuk Bantuan Sumbangan Banjir melalui Tabung Bencana NSTP-Media Prima. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Syed Hussian Aljunid (tiga kiri) hadir perjumpaan dengan Ahmad Yakob (dua kiri) selepas menyaksikan Penyerahan replika cek bernilai RM200,400,00 untuk Bantuan Sumbangan Banjir melalui Tabung Bencana NSTP-Media Prima. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR