NURUL Sharina bersama anaknya Muhammad Aqil Uzair. FOTO Azlan Hadi Abu Bakar
NURUL Sharina bersama anaknya Muhammad Aqil Uzair. FOTO Azlan Hadi Abu Bakar
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Selama ini Aqil aktif dan membesar macam kanak-kanak normal lain. Tidak sangka pula dia menghidap penyakit jantung berlubang."

Demikian kata Nurul Sharina Mohd Muhidzer, 36, yang terkejut apabila dimaklumkan anaknya, Muhammad Aqil Uzair Mohamad Zahir, tiga tahun, disahkan menghidap penyakit jantung berlubang sekitar Ogos lalu.

Nurul Sharina berkata, dia hilang kata-kata selain berasa sedih mengenang nasib anak keduanya itu.

"Pada awalnya Aqil tak berapa sihat, jadi saya bawa dia buat pemeriksaan di Chinese Maternity Hospital (CMH) Seremban, Negeri Sembilan.

"Waktu itu doktor beritahu degupan jantung Aqil tak berapa elok dan minta untuk buat ujian imbasan. Hasilnya, Aqil ada masalah jantung berlubang. Jadi, doktor cadangkan untuk buat pembedahan bagi menutup lubang sebesar 2.29 sentimeter (sm).

"Ketika dimaklumkan perkara itu, saya menjadi 'blur', terkejut dan tak tahu nak cakap apa. Memang sedih sebab tak menjangka sama sekali. Dari kehamilan, pemeriksaan kesihatan hingga dia dilahirkan memang tidak ada apa-apa masalah kesihatan. Dia sihat dan membesar macam kanak-kanak lain.

"Cuma tahun ini dia mula tak sihat. Malah, adik saya pernah tegur bibir Aqil kebiruan. Tapi, saya anggap macam sakit biasa saja. Namun, bila dah terlalu kerap sakit itu yang saya bawa dia buat pemeriksaan kesihatan," katanya.

Menurutnya, selain kesihatan anaknya, perkara yang membuatkan Nurul Sharina dan suami, Mohamad Zahir Jantan, 46, bingung adalah kos pembedahan yang dianggarkan RM50,000.

"Saya baru saja bekerja sebagai pembantu kedai makan, sementara suami pula hanya kerja biasa di kampung iaitu menternak haiwan. Apabila doktor beritahu anak kami perlu menjalani pembedahan segera memang bingung dibuatnya. Masa tu fikir macam mana nak cari duit untuk kos pembedahan dan perubatan. Ditambah kami memang tak mampu.

"Namun, saya bersyukur apabila pihak Media Prima menerusi Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP (Media Prima-NSTP Humanitarian Fund) sudi membantu. Saya berharap menerusi tabung yang dilancarkan ini orang ramai dapat membantu anak saya sekali gus meringankan beban kami. Paling penting juga, semoga sumbangan ini dapat memberikan harapan baru kepada anak saya.

"Sebagai ibu sudah tentu saya ingin melihat dia sembuh dan sihat macam kanak-kanak lain. Saya nak dia aktif dan boleh bermain macam sebelum ini," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk wang tunai atau cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek kepada Tabung Kemanusiaan MEDIA PRIMA-NSTP.

Sumbangan boleh dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat Empat, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi akaun bank (Bank Muamalat 1401-0008-8427-18) atau (Maybank - 5141-0532-3170) dan nyatakan nama pesakit pada bahagian rujukan penerima atau butiran pembayaran lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 2:46 PM