Azlan Hadi Abu Bakar
Azlan Hadi Abu Bakar
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Baru berusia lima tahun, namun berat penderitaan yang ditanggung oleh Catherine Teng Kai Xuan apabila dia disahkan mengidap penyakit jantung terbalik, jantung berlubang dan saluran darah ke paru-paru sempit.

Keadaan itu menyebabkan Catherine perlu menjalani pembedahan segera di Hospital Gleneagles, di sini.

Ibunya, Lim Siew Lee, 42, berkata, dia berterima kasih kepada Media Prima Berhad (MPB) menerusi Media Prima-NSTP Humanitarian Fund kerana membantu mengumpul dana bagi membiayai kos pembedahan kali kedua berjumlah RM110,000.

"Kali pertama Catherine menjalani pembedahan pada 2018 iaitu ketika dia berumur lapan bulan. Kos pembedahan juga hasil daripada sumbangan orang ramai menerusi Media Prima-NSTP Humanitarian Fund sebanyak RM60,000.

"Sebagai ibu tentunya saya terharu dan berterima kasih atas sumbangan diberikan. Dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu anak saya.

"Apa yang saya harapkan selepas pembedahan kedua nanti supaya Catherine cepat sihat. Saya nak dia membesar macam anak orang lain juga," katanya.

Menurut Lim, Catherine yang juga anak bongsu daripada tiga beradik itu dikesan mengalami komplikasi jantung selepas dua hari dilahirkan selain perlu menjalani pemeriksaan susulan setiap enam bulan selepas pembedahan kali pertama.

"Hari kedua dia dilahirkan oksigen tidak cukup dalam badan. Jadi, doktor minta untuk buat pemeriksaan lanjut dan hasilnya dia disahkan menghidap masalah jantung dengan beberapa komplikasi lain.

"Ketika itu, saya terkejut dan menangis. Sebab sebelumnya memang tidak tahu kerana ketika dalam kandungan dokor maklumkan semuanya normal.

"Tapi, selepas diberitahu ada prosedur yang boleh dibuat, saya okay. Apa yang saya fikir adalah janji anak saya sihat.

"Selepas beberapa hospital tidak dapat melakukan rawatan, saya dicadangkan untuk membawa Catherine ke Hospital Gleneagles," katanya

Dalam masa sama, Lim berkata anaknya yang minat menyanyi dan menari itu berada dalam keadaan okay tanpa sebarang masalah kesihatan yang kritikal.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (Maybank 514105323170) atau melalui cek disertai nama pesakit, Catherine Teng Kai Xuan yang boleh dihantar ke Jabatan Komunikasi Korporat Media Prima Berhad, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau hubungi talian 03-27248955 untuk sebarang pengesahan.

Mereka yang menyumbang layak mendapat pelepasan cukai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 5:26 PM