GELDLONG ditemani ibu bapanya di Sunway Medical Centre. FOTO Hairul Anuar Rahim
GELDLONG ditemani ibu bapanya di Sunway Medical Centre. FOTO Hairul Anuar Rahim
Sri Ayu Kartika Amri

Subang Jaya: "Dulu dia seorang aktif dan saya tidak pernah menyangka dia rupa-rupanya menghidapi penyakit jantung berlubang," luah Geldped Apau, 34 mengenai kesihatan anak sulungnya.

Geldped berkata, dia hanya menyedari anaknya, Geldlong Geldped, 11, menanggung penyakit itu tahun lalu.

"Pada usia awal 10 tahun baru dia menunjukkan tanda. Dia mengadu badannya selalu lemah dan sering mengalami batuk.

"Sejak kecil lagi Geldlong sangat aktif, malah di sekolah dia juga selalu menyertai aktiviti sukan," katanya ketika ditemui di Sunway Medical Centre, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia kini hilang punca pendapatan kerana terpaksa menjaga anaknya sepenuh masa.

Geldlong memerlukan sebanyak RM45,000 untuk menampung pembedahan penyakit jantung berlubang di Sunway Medical Centre.

"Saya hanya bekerja sendiri dan isteri pula suri rumah, sekarang memang saya serta isteri menjaga anak di wad, manakala tiga lagi anak saya di kampung dijaga oleh nenek mereka," katanya.

"Sebagai seorang bapa, saya mahu melihat anak saya sihat seperti sebelum ini dan dapat meneruskan aktiviti olahraganya.

"Saya juga berharap agar pembedahan ini berjaya dan anak cepat sembuh dan semoga ada yang sudi memberi sumbangan," katanya yang berasal dari Gua Musang, Kelantan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan menerusi akaun Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP (Maybank 514105323170) atau melalui cek disertai nama pesakit (Geldlong Geldped).

Cek boleh dihantar ke Jabatan Komunikasi Korporat Media Prima, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau hubungi talian 03-24278678.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 4:48 PM