Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Kenaikan harga sayur-sayuran mula dirasai apabila ia meningkat 10 hingga 20 peratus berikutan musim hujan kebelakangan ini.

Perkara itu turut diakui kebanyakan peniaga yang menerima bekalan dengan harga sedikit tinggi daripada pembekal sejak beberapa hari lalu.

Penjual sayur yang ingin dikenali sebagai Zura, 44, berkata, tomato dijual pada harga RM7 sekilogram di premisnya minggu ini berbanding RM6 minggu lalu, manakala harga bayam RM8 sekilogram, naik RM1 berbanding minggu lalu.

"Pada musim hujan, sayur cepat rosak apabila basah. Menjadi rutin apabila sayur baru sampai, saya akan asingkan. Kira-kira lima peratus sayur diterima sudah berair dan terpaksa dibuang.

"Kami dapat bekalan pada harga agak mahal kerana kami pembeli peringkat ketiga. Saya beli tomato pada harga RM6 sekilogram hari ini jadi untung cuma RM1," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tinjauan Harian Metro di Pasar Taman Tun Sardon dan Pasar Awam Bayan Baru di sini, mendapati tomato dijual RM6 hingga RM9 sekilogram, bayam RM7 hingga RM10 sekilogram dan timun mencecah RM4 hingga RM5 sekilogram.

Sayur lain seperti kacang panjang dijual pada harga RM7 hingga RM11 sekilogram, bendi mencecah RM10, terung panjang dijual pada harga RM9 hingga RM14.

Pengguna, Rahmah Husin, 60, mengakui terkejut apabila membayar RM8 untuk seikat kecil bayam, enam batang bendi, sebiji tomato dan lima cili besar.

"Harga tomato sahaja kalau ditimbang sudah RM1 sebiji, saya memang kira barang betul-betul untuk persediaan masakan mengikut bajet keluarga supaya tidak membazir," kata ibu kepada tiga anak dan dua cucu itu.

Sementara itu, peniaga ikan, Abdul mutalib Abdul Wahab, 47, berkata, harga ikan tidak menentu dengan kembung mencecah RM14 dan ikan selar RM12 sekilogram berikutan bekalan berkurangan pada musim tengkujuh ini.

Beliau berkata, bagi mengatasi masalah bekalan, dia mendapatkan hasil laut dari beberapa lokasi termasuk di Pantai Remis, Perak selain nelayan pantai di sekitar Teluk Bahang, Teluk Kumbar dan Batu Maung dekat sini.

Katanya, hasil laut seperti ikan biji nangka dan bawal hitam mencecah RM26 sekilogram hari ini selain cencaru RM11 sekilogram dan sotong RM26.

"Saya banyak jual ikan yang ditangkap segar, selain ada juga ambil ikan sejuk beku tapi sekarang ada pembekal yang jual harga ikan jenis itu sama harga dengan ikan segar sebab kurang bekalan.

"Misalnya kembung atau sardin sejuk beku dulu harganya cuma RM7 saja sekilogram, sekarang harganya tidak jauh beza seperti ikan segar iaitu sekitar RM10 hingga RM12," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 2:17 PM
Tinjauan jualan sayur-sayuran di Pasar Awam Taman Tun Sardon di sini, berlaku kenaikan harga jualan  antaranya tomato dijual pada harga RM6 hingga RM9 sekilogram, bayam RM7 hingga RM10 sekilogram dan timun mencecah RM5 sekilogram. FOTO DANIAL SAAD
Tinjauan jualan sayur-sayuran di Pasar Awam Taman Tun Sardon di sini, berlaku kenaikan harga jualan antaranya tomato dijual pada harga RM6 hingga RM9 sekilogram, bayam RM7 hingga RM10 sekilogram dan timun mencecah RM5 sekilogram. FOTO DANIAL SAAD