Mazizul Dani


Kuala Lumpur: Harga ikan temenung atau kembung, cencaru dan sardin menurun antara RM2 hingga RM4 sekilogram (kg).

Tinjauan Harian Metro di 14 gerai di Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini, hari ini, mendapati harga mula berubah sejak tiga hari lalu.

Peniaga, Yap Kit Lee, 62, yang sudah 40 tahun berniaga berkata, bekalan ikan bertambah berbanding minggu lalu kemungkinan disebabkan faktor cuaca yang semakin baik.

"Harga ikan ada turun sedikit sejak dua, tiga hari lalu. Ikan kembung sebelum ini RM20 sekilogram, hari ini sudah RM18.

"Ikan cencaru sekarang RM11 satu kilogram berbanding sebelum ini sehingga RM14 sekilogram," katanya.

Peniaga, Steven Teh Wei Man, 28, berkata, harga ikan kembung agak tinggi sejak kebelakangan ini dengan peningkatan sehingga RM4.

"Sebelum ini harga RM16 sekilogram, baru-baru ini, naik sehingga RM20 tetapi hari ini harganya sudah RM18 sekilogram.

"Ikan tongkol pula harga tak stabil. Kadang-kadang harga naik RM4. Sekarang RM11 sekilogram dan maksimum boleh sampai RM18 sekilogram," katanya.

Sebelum ini pengguna merungut kerana harga ikan seperti kembung mencecah sehingga RM20 sekilogram sedangkan kebiasaannya dijual pada harga sekitar RM9 sekilogram.

Sementara itu, pemandu, Tarmizi Abdul Hamid, 52, berkata, harga ikan sejak kebelakangan ini naik mendadak.

"Bayangkan ikan pelaling biasanya satu kilogram RM9 naik sehingga RM16. Walaupun harga agak tinggi terpaksa beli juga mana yang kita mampu. Saya harap sementara saja," katanya.

Pesara kerajaan, Datuk Wan Yusof Wan Embong, 68, mahu kerajaan dan pihak bertanggungjawab mengambil tindakan sewajarnya bagi mengawal harga keperluan asas itu.

"Biasanya beli ikan kembung dulu harganya antara RM10 hingga RM11 sekilogram sekarang naik RM20. Harga RM18 pun masih mahal.

"Serba serbi sekarang sudah mahal. Macam saya, keluarga kecil, jadi tidak apalah makan ikan sedikit. Kalau keluarga besar kasihan pada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 5:19 PM