Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat apabila seramai 213 mangsa daripada 58 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), hari ini.

Sehingga jam 4 petang, sebanyak lima PPS masing-masing dua di daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus (dua) dan satu di daerah Besut dibuka.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri, seramai 66 mangsa daripada 18 keluarga dipindahkan ke dua PPS masing-masing di Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering dan SK Atas Tol.

Di daerah Kuala Nerus, seramai 136 mangsa banjir membabitkan 36 keluarga dipindahkan ke PPS di daerah Kuala Nerus iaitu di SK Tok Jembal dan SK Bukit Nenas.

PPS terbaru dibuka adalah di daerah Besut apabila seramai 11 mangsa daripada empat keluarga dipindahkan ke Surau Taman Perumahan Bukit Cina.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri, Hanafiah Mat ketika dihubungi, hari ini, meminta penduduk terutama yang tinggal berhampiran sungai dan pantai sentiasa berwaspada serta terus berpindah ke PPS berhampiran dengan segera.

Katanya, bilik gerakan bencana di seluruh daerah sudah diaktifkan untuk membantu memindahkan mangsa banjir.

"Kita jangkakan, jumlah mangsa banjir meningkat terutama akan berlaku air pasang besar malam ini.

"Kita menyeru semua penduduk yang tinggal berhampiran pantai dan sungai bersiap sedia untuk berpindah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 4:26 PM
Penduduk mengalihkan bot itik ke tempat yang lebih selamat selepas hujan lebat  sejak malam tadı di Pusat Rekreasi Kalang Warisan. FOTO GHAZALI KORI
Penduduk mengalihkan bot itik ke tempat yang lebih selamat selepas hujan lebat sejak malam tadı di Pusat Rekreasi Kalang Warisan. FOTO GHAZALI KORI