Mohd Roji Kawi


Kuching: Kepulan asap dengan api menjulang tinggi di tepi landasan disusuli kehadiran jentera bomba dan ambulans 'mencemaskan' penumpang pesawat yang berlepas dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), di sini, hari ini.

Bagaimanapun, suasana cemas itu hanyalah sebahagian senario Latih Amal Bencana Udara KIA: Exercise Buceros Shield 2022, yang diadakan bagi meningkatkan kecekapan semua agensi bagi menghadapi kecemasan di lapangan terbang itu.

Jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berkata, latihan berskala penuh itu diadakan setiap dua tahun sekali bagi menilai tahap kesiapsiagaan serta kepantasan dalam menangani kecemasan.

Menurutnya, ia selaras dengan ketetapan setiap lapangan terbang antarabangsa bagi memenuhi pematuhan yang digariskan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

LATIH Amal Bencana Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching 2022 Exercise Buceros Shield 2022 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. FOTO Nadim Bokhar
LATIH Amal Bencana Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching 2022 Exercise Buceros Shield 2022 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. FOTO Nadim Bokhar

"Latihan kecemasan lapangan terbang berskala penuh ini adalah sebahagian daripada usaha komuniti lapangan terbang untuk memperkukuh kesediaan dan daya tahan lapangan terbang dalam menguruskan sebarang krisis atau situasi kecemasan.

"Latihan yang kerap dijalankan di lapangan terbang untuk memastikan kesiaosiagaan yang berterusan," katanya dalam kenyataan selepas latihan itu, hari ini.

Menurutnya, latihan itu meliputi satu siri bengkel, latihan di bilik kuliah dan penggubalan skala penuh situasi bencana udara yang berpotensi.

"Peserta mengukuhkan penyelarasan, keupayaan dan kecekapan mereka mengikut prosedur yang didokumenkan dalam Pelan Kecemasan Aerodrome (AEP) dan juga menyediakan input untuk penambahbaikan selanjutnya," katanya.

Menurutnya, seramai 420 peserta daripada 32 agensi termasuk 64 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Kota Samarahan menyertai latihan itu.

Antara agensi terbabit ialah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB), Jawatankuasa Pengurusan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Keselamatan Penerbangan (AVSEC), Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) dan Malaysia Airports Sdn. Bhd (MASB).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 4:54 PM