Faizul Azlan Razak


Kuala Nerus: Kecoh apabila sebuah pesawat dikatakan terhempas dan terbakar di pesisir pantai Teluk Ketapang berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di sini, hari ini.

Kejadian jam 10.30 pagi mencetuskan suasana kelam kabut sehinggakan pihak berkuasa terpaksa menutup laluan pantai kepada pengguna jalan raya.

Bagaimanapun, apa yang 'berlaku' itu sebenarnya latihan kecemasan yang dilaksanakan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) menerusi Airport Fire Recue Service (AFRS) yang melakukan Latih Amal Bencana Udara (EX-PENYU) 2023 di kawasan terbabit.

Pengurus Besar AFRS MAHB, Muhammad Hidayat Ismail berkata, pihaknya akan melakukan latihan itu setahun sekali di semua lapangan terbang termasuk LTSM dan ia julung kalinya diadakan di luar kawasan lapangan terbang.

Beliau berkata, latihan kecemasan itu membabitkan pelbagai agensi dan pasukan penyelamat di lapangan terbang berskala penuh ini adalah sebahagian daripada usaha komuniti lapangan terbang.

"Latihan ini juga untuk memperkukuh kesediaan dan daya tahan lapangan terbang dalam menguruskan sebarang krisis atau situasi kecemasan.

"Kita memberi tumpuan kepada respons untuk menguji kemahiran dan kecekapan setiap agensi yang terbabit semasa kemalangan pesawat luar lapangan terbang dan untuk menguji peralatan dan komunikasi sedia ada yang digunakan semasa insiden udara.

"Tetapi, kali ini kita membuat sedikit kelainan apabila latihan dilakukan di luar lapangan terbang berbanding sebelum ini dibuat dalam kawasan lapangan," katanya selepas latihan berkenaan, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar LTSM, Mohd Zabidi Abdullah dan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din.

Muhammad Hidayat berkata, lebih 500 individu membabitkan pelbagai agensi terbabit dalam latihan kapal terbang terhempas itu.

Beliau berkata, dalam latihan itu seramai 68 penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dijadikan 'penumpang' kapal terbang dalam misi dan menyelamat agensi penyelamat.

"Tujuan utama adalah menilai kecekapan seperti mana yang ada dalam pelan kecemasan lapangan terbang.

"Fungsi kita melakukan latih amal ini juga menguji keberkesanan pelan itu sendiri, komunikasi dan tindak balas semua agensi bukan saja dari lapangan terbang sendiri, malah agensi luar.

"Memandangkan ini adalah kali pertama kita mengadakan latihan di luar lapangan terbang dan kita sifatkan ia satu kejayaan kepada semua pihak yang terbabit," katanya.

Anggota pasukan penyelamat semasa mengadakan Latihan Amal Bencana Udara (EX-PENYU) di Lapangan Terbang Sultan Mahmud. FOTO GHAZALI KORI
Anggota pasukan penyelamat semasa mengadakan Latihan Amal Bencana Udara (EX-PENYU) di Lapangan Terbang Sultan Mahmud. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 5:09 PM