Wan Hassan Wan Ahmad
Wan Hassan Wan Ahmad
Izad Thaqif Hassan


Kulim: Sebanyak sembilan laporan polis diterima sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerusi Parlimen Padang Serai dan tiga kertas siasatan dibuka.

Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, tiga kertas siasatan itu membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 yang akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindalan lanjut.

"Selebihnya pula adalah kes-kes yang dilaporkan dianggap terpencil dan sehingga kini tiada sebarang elemen khianat seperti membakar bendera atau poster dilaporkan," katanya yang ditemui ketika sidang media di Balai Polis Lunas di sini, hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan kes dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan pihaknya akan membantu apa yang diperlukan sepanjang siasatan dijalankan.

"Setakat ini, kita belum membuat sebarang tangkapan terhadap mana-mana individu namun mungkin akan memanggil mereka untuk diambil keterangan.

"Semua itu bergantung kepada siasatan yang kita jalankan selain menunggu arahan lanjut selepas kertas siasatan diserah kepada pejabat TPR," katanya.

Menurutnya, setakat ini perjalanan proses mengundi PRU-15 Parlimen Padang Serai dilihat berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden atau kekecohan ditimbulkan.

"Sejak hari penamaan calon sehingga hari ini, kita sudah menempatkan 400 pegawai dan anggota untuk mengawal serta memantau sebarang program atau ceramah parti politik.

"Kita lihat semua berjalan lancar dengan keadaan terkawal dan tenang termasuk ketika berlangsungnya ceramah perdana baru-baru ini," katanya.

PRU-15 Parlimen Padang Serai ditunda berikutan calonnya, M Karupaiya meninggal dunia pada 16 November iaitu tiga hari sebelum proses pengundian.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan 7 Disember sebagai hari pengundian bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 2:33 PM