Hishammuddin (tengah) dan Tengku Zafrul bergambar bersama penduduk Karnival Sukan Bola Sepak Bersama Masyarakat India, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin.
Hishammuddin (tengah) dan Tengku Zafrul bergambar bersama penduduk Karnival Sukan Bola Sepak Bersama Masyarakat India, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin.
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Barisan Nasional (BN) mampu merampas kerusi Parlimen Sungai Buloh dan Kuala Selangor yang disandang Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Bendahari Agung BN Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, keyakinan itu berdasarkan semangat pengundi di dua kawasan berkenaan ketika tempoh kempen.

"Sekiranya calon (Khairy Jamaluddin dan Tengku Zafrul) diberi peluang, kedua-duanya mampu menolong rakyat di kawasan tersebut.

"Ini satu petanda baik, tetapi saya mahu nasihatkan jentera jangan toleh ke belakang kerana tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk mengundi.

"Jentera mesti teruskan momentum kerana saya percaya jika Khairy dan Tengku Zafrul diberikan tempat, mereka boleh berkhidmat untuk rakyat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Sukan Bola Sepak Bersama Masyarakat India di Bestari Jaya di sini.

Turut hadir calon BN bagi Parlimen Kuala Selangor Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Hishammuddin berkata, beliau percaya Tengku Zafrul dapat menyumbang untuk membangunkan kawasan ini dan akan membantu semua penduduk Kuala Selangor tanpa mengira kaum atau agama.

Katanya, rakyat harus bijak memilih dan tidak terpedaya dengan fitnah serta tohmahan parti pembangkang yang sekadar mahu meraih sokongan pengundi.

"Rakyat sudah mula sedar parti lawan hanya menanam kebencian kepada BN untuk memenangi pilihan raya.

"Pengundi sudah memberikan mereka peluang pada PRU-14 lalu, tetapi PRU-15 kali ini, pengundi sudah boleh buat perbandingan (parti) mana yang boleh diberikan peluang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 10:36 PM