AHMAD Zahid menyampaikan Perutusan Hari Mengundi di Jeti Waterfront Bagan Datuk malam ini. FOTO Muhamad Lokman Khairi
AHMAD Zahid menyampaikan Perutusan Hari Mengundi di Jeti Waterfront Bagan Datuk malam ini. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Muhamad Lokman Khairi


Bagan Datuk: Barisan Nasional (BN) akan melakukan reformasi dalaman parti.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN terbuka dengan segala kritikan dan bersedia untuk menerima pandangan daripada rakyat.

Calon Parlimen Bagan Datuk itu berkata, suara rakyat akan diambil kira supaya dasar yang dibuat kelak memberikan kesan positif kepada pembangunan negara.

"BN bersedia untuk membuka lembaran baru, dengan membuat dasar-dasar yang lebih baik dan mengukuhkan pembangunan.

"Kami berjanji untuk melakukan perubahan yang progresif dalam masa beberapa bulan yang akan datang.

"Kita mampu membentuk sebuah pasukan kerja yang mantap dan bersedia untuk mengharungi pelbagai krisis, sama ada dalaman mahupun global," katanya sewaktu berucap dalam Perutusan Hari Mengundi malam ini.

Dalam pada itu, Presiden Umno itu memberi jaminan bahawa jawatan Timbalan Perdana Menteri akan diberikan kepada wakil rakyat dari Sabah atau Sarawak sekiranya BN dapat membentuk kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

"Ini sebagai bukti kesungguhan BN menghidupkan semula Perjanjian Malaysia 1963.

"Wilayah Barat Malaysia ini akan dimajukan agar rakyat di Sabah dan Sarawak mengecapi limpahan ekonomi," katanya.

Menjelang hari pengundian esok, Ahmad Zahid menyeru rakyat Malaysia memberikan kepercayaan kepada mereka yang terbukti berpengalaman menguruskan negara dan tidak lagi bereksperimen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 10:24 PM