Irwan Shafrizan Ismail


Shah Alam: Perikatan Nasional (PN) mengumumkan tawaran PN Best bertemakan 'Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang' merangkumi 12 tunjang utama, 30 pendekatan dan 234 tawaran.

Tawaran PN Best itu dilancarkan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di sini malam tadi.

Bagi membina ekonomi masa depan yang berdaya saing 12 tunjang utama itu merangkumi;

-Membina Ekonomi Masa Hadapan yang Berdaya Saing

-Meningkatkan Nilai dan Taraf Hidup Rakyat

-Membersihkan Politik dan Tadbir Urus

-Mensejahterakan Bumiputera, Orang Asli dan Semua Kaum

-Memacu Pembangunan Wilayah

-Melestarikan Alam Sekitar dan Merancakkan Pelancongan

-Memperkasa Belia dan Mensejahterakan Keluarga Muda

-Mengoptimumkan Potensi Wanita

-Membina Warga Emas Yang Aktif dan Sejahtera

-Memperkasakan Orang Kelainan Upaya

-Memperkasakan Peneroka FELDA

-Mentransformasikan Petani, Penternak, Nelayan & Pekebun Kecil

PN juga berikrar bahawa semua inisiatif Bajet 2023, termasuk bantuan kewangan rakyat dan penjawat awam, akan dikekalkan dan ditambahbaik untuk semua lapisan masyarakat.

Antara tawaran utama PN iaitu tumpuan kepada merancak ekonomi melalui tabung khas galakan pelaburan RM5 bilion dan satu juta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, mensejahtera rakyat termasuk mewujudkan one stop centre MyPrihatin untuk semua penyampaian bantuan rakyat.

Memperkenalkan Kad Prihatin Nasional untuk akses perkhidmatan kesihatan, menyediakan perkhidmatan bas dan pusat penjagaan percuma bagi kumpulan miskin dan miskin tegar, serta skim khas bagi pekerja gig, nelayan dan pekebun kecil.

Tadbir urus yang kukuh termasuk dengan melarang sumbangan dana politik dari luar negara, memperkasa pelan antirasuah nasional dan sistem perundangan dan kehakiman syariah serta menubuhkan badan bertindak bencana alam dan perubahan iklim.

Pendidikan yang inklusif termasuk akses Internet laju dalam bilik darjah dan bilik guru, dana khas bagi sekolah tahfiz dan agama rakyat serta RM2.5 bilion peruntukan penyelenggaraan sekolah.

Mensejahterakan Bumiputera, Orang Asli dan semua kaum dilaksanakan melalui pemerkasaan agenda pembangunan Bumiputera dan mempertahankan hak semua kaum serta pembangunan sosioekonomi Orang Asli dan golongan minoriti yang menyeluruh.

Merapatkan jurang pembangunan Sabah dan Sarawak termasuk menyegerakan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 serta penubuhan universiti awam baharu di Sabah dan Sarawak.

Belia sebagai peneraju termasuk dengan melantik senator dalam kalangan belia dan beliawanis, diskaun 25 peratus bayaran balik pinjaman PTPTN untuk graduan kelas kedua atas dan skim perumahan mikro belia mampu sewa.

Melindungi kumpulan rentan termasuk menubuhkan Jabatan warga emas, dananita-wanita bangkit berniaga dan program latihan OKU lepasan sekolah.

Generasi Felda yang diperhebat termasuk menawarkan Wawasan Felda Baharu bagi menjamin masa hadapan generasi muda di kawasan rancangan Felda.

Bagi memastikan tawaran PN Best dilaksanakan sepenuhnya, sebuah Jawatankuasa Khas dianggotai pakar akan ditubuhkan.

MUHYIDDIN berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto PN. FOTO Genes Gulitah
MUHYIDDIN berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto PN. FOTO Genes Gulitah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 9:18 PM