Putrajaya: Cadangan insentif tambahan kepada penoreh dan pekebun kecil getah akan dibawa ke Kabinet untuk kelulusan jemaah menteri dalam masa terdekat bagi membantu golongan itu menghadapi keadaan harga getah yang kekal rendah ketika ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, ia berbeza dengan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Bajet 2015 Oktober lalu.

“Insentif ini berbentuk bantuan jangka panjang bagi membantu penoreh dan pekebun kecil getah. Kami akan bawa cadangan ini ke Kabinet secepat mungkin dan ketika ini ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi supaya kena pada kumpulan sasarnya.

“Berbeza dengan pemberian bantuan khas RM500 yang diberi sekali gus pernah diberikan kerajaan sebelum ini, kami mahu meneliti bantuan yang dapat membantu pekebun kecil dan penoreh getah dalam jangka masa panjang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Cara-cara Bagi Meningkatkan Pendapatan Pekebun Kecil Komoditi Industri di kementeriannya, di sini, semalam.

Turut hadir dalam mesyuarat lebih dua jam itu adalah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Doughlas Unggah Embas.

Kejatuhan harga getah sejak 2012 memberi kesan teruk kepada 386,872 penoreh dan pekebun kecil getah seluruh negara apabila pendapatan yang diperoleh sebulan berada di bawah garis kemiskinan iaitu sekitar RM568 sebulan.

Malah, bantuan perlu disalurkan kepada mereka berikutan 90 peratus daripada mereka memperoleh pendapatan daripada hasil jualan getah semata-mata, malah majoriti mereka adalah penduduk luar bandar.

Mohd Shafie berkata, mesyuarat itu juga turut membincangkan usaha untuk membangunkan industri.

Sementara itu, Doughlas berkata, pendaftaran penoreh getah untuk mendapatkan IPG sedang giat dijalankan di setiap negeri.

“Daripada 360,000 penoreh getah, sebanyak 120,000 sudah mendaftar. Mereka (pekebun kecil, penoreh getah) perlu mengemukakan invois penjualan getah serta kad yang dikeluarkan Lembaga Getah Malaysia sebelum layak untuk mendaftar,” katanya.

IPG akan dilaksanakan apabila paras harga SMR 20 FOB (free-on-board) berada pada RM4.60 setiap kilogram (kg) dan harga getah sekerap (cuplumps) adalah RM1.75 setiap kg ke bawah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 8:44 AM