RoselanAb Malek


Bera: Orang ramai diingatkan untuk tidak keliru dengan janji manis individu tertentu yang mewakili parti politik tertentu yang sedang giat menabur janji menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ada yang berjanji sehingga tidak akan mengambil gaji sebagai perdana menteri sekiranya dilantik, sedangkan pemimpin perlu memikirkan dan mencari ikhtiar untuk membantu rakyat dalam pelbagai aspek.

Beliau mengingatkan bahawa akibat terpengaruh dan percaya pada janji semasa PRU-14, negara berada dalam keadaan tidak stabil, perkembangan ekonomi dan kehidupan rakyat terjejas.

"Kita lihat dulu semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah, banyak janji yang tabur tidak dilaksanakan seperti tiada bayaran tol, hapus Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) malah banyak bantuan kepada pesawah, nelayan dan pekebun kecil getah dan kelapa sawit dihapuskan.

"Kita hendaklah kembali pada kenyataan, bahawa apa yang kita nak janjikan mestilah bertepatan dengan kemampuan bukan sekadar untuk menarik perhatian semata mata.

"Namun apa yang saya janji di dalam Bajet 2023 baharu ini, insya-Allah akan di penuhi sekiranya kerajaan Barisan Nasional yang mentadbir negara ini.

"Hanya untuk masa ini Bajet 2023 itu belum diluluskan oleh kerana Parlimen di bubarkan untuk memberi laluan kepada PRU-15," katanya ketika berucap di majlis Program Pekebun Kecil Makmur di Kampong Batu Papan, di sini hari ini.

ISMAIL Sabri di majlis Pekebun Kecil Makmur Keluarga Malaysia. FOTO Roselan Ab Malek
ISMAIL Sabri di majlis Pekebun Kecil Makmur Keluarga Malaysia. FOTO Roselan Ab Malek

Turut hadir Pengerusi RISDA Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata Kerajaan sedia mengkaji semula kadar Insentif Pengeluaran Getah (IPG) demi kepentingan pekebun kecil getah di seluruh negara.

Katanya, beliau sudah berbincang dengan Menteri Kewangan mengenai kewajaran bagi menaikkan kadar IPG yang pada masa ini ialah pada kadar RM2.50.

"Saya tahu ramai merungut supaya ditingkatkan (IPG), Pengerusi RISDA bangkitkan dalam Parlimen, jumpa saya berkali-kali memohon supaya IPG RM2.50 dipertingkatkan.

"Saya pun sudah berbincang dengan Menteri Kewangan dan kita akan lihat perkara ini, insya-Allah kalau diberi peluang memerintah semula kita akan kaji untuk kepentingan pekebun kecil," katanya.

Menurut Ismail Sabri, IPG yang diperkenalkan kerajaan sekarang amat signifikan dalam usaha membantu pekebun kecil getah dalam berhadapan dengan harga getah yang tidak menentu.

"Pada masa ini sekiranya harga pasaran getah berada kurang dari paras RM2.50 sekilogram, pekebun kecil tidak akan dapat apa-apa tetapi dengan adanya insentif IPG, kalau harga RM2.40 kerajaan tanggung 10 sen untuk menampung kekurangan.

"Kerajaan sedar pentingnya sektor penanaman getah kepada peningkatan ekonomi negara dan memperkenalkan pelbagai inisiatif serta bantuan termasuklah program tanam semula getah dengan sasaran 20,000 hektar yang kini mencapai penanaman 10,000 hektar membabitkan 7,180 pekebun kecil.

Menurutnya, pada masa ini RISDA juga menerima permohonan tanam semula getah seluas 18,524 hektar daripada 12,381 pekebun kecil di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 4:14 PM