MAHKAMAH Tinggi Shah Alam. FOTO Arkib NSTP
MAHKAMAH Tinggi Shah Alam. FOTO Arkib NSTP
Faris Fuad

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini menolak permohonan semakan kehakiman oleh dua badan bukan kerajaan (NGO) bagi mencabar tindakan Kerajaan Selangor, yang membenarkan pembangunan di Hutan Simpan Bukit Cherakah.

Peguam mewakili Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) dan Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACF), Rajesh Nagarajan berkata, Hakim Dr Shahnaz Sulaiman membuat keputusan itu tanpa sebarang kos dalam prosiding menerusi aplikasi Zoom.

Menurutnya, antara alasan hakim ialah keputusan untuk menyahwartakan Bukit Cherakah dibuat pada 2000 dan pemohon sedar bahawa kerja sudah dijalankan di kawasan itu sejak tahun terbabit.

"Susulan itu, pewartaan bertarikh 5 Mei 2022 tidak boleh dikatakan melucutkan pemohon daripada menikmati faedah dibenarkan untuk menggunakan hutan simpan.

"Oleh kerana tarikh efektif penyahwartaan pada 20 November 2000, keperluan untuk menjalankan pertanyaan awam berdasarkan Seksyen 11 Akta Perhutanan Negara tidak diperlukan.

"Ia kerana sudah berkuat kuasa pada 19 Mei 2011, iaitu selepas keputusan untuk penyahwartaan dibuat," katanya kepada BH, hari ini.

Rajesh akan memfailkan rayuan terhadap keputusan permohonan itu seperti diminta oleh anak guamnya.

Pada 3 Ogos lalu, Peka dan SACF memfailkan permohonan itu dengan menamakan kerajaan Selangor, Majlis Eksekutif Selangor, Pengarah Jabatan Perhutanan Selangor serta Jabatan Tanah dan Galian Petaling sebagai responden.

Pada masa sama, YCH Development, Restu Mantap Sdn Bhd dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dibenarkan menjadi pencelah dalam kes itu.

Kedua-dua NGO itu mencabar keputusan responden atas alasan, kesemua pihak terbabit tidak rasional membenarkan pembangunan di atas tanah seluas 406.22 hektar terbabit melalui pelaksanaan keputusan yang dibuat 22 tahun lalu, selain menyifatkannya sebagai 'lapuk'.

Mereka juga memohon pengisytiharan mengenai keperluan untuk mengadakan siasatan awam berkaitan pembangunan hutan simpan itu seperti yang termaktub di bawah Seksyen 11 dan 12 Enakmen Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 12:00 PM