KEADAAN banjir yang melanda Kampung Long Bemang, Miri sejak semalam. FOTO IHSAN JBPM
KEADAAN banjir yang melanda Kampung Long Bemang, Miri sejak semalam. FOTO IHSAN JBPM
Mohd Roji Kawi

Kuching: Kampung Long Bemang di pedalaman Marudi di Miri dekat sini, sekali lagi dilanda banjir semalam, dengan bahagian bawah rumah panjang penduduk ditenggelami air sedalam kira-kira 0.5 meter.

Ia banjir kali kesembilan melanda kampung yang terletak di tebing Sungai Apoh itu sejak Januari tahun ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, banjir terbaharu melanda jam 6 pagi semalam, selepas hujan lebat di hulu sungai.

Menurutnya, ia menjejaskan 103 kediaman dihuni 530 penduduk.

"Bagaimanapun, tiada pemindahan dilakukan kerana semua penduduk yang terjejas tinggal di tingkat atas rumah panjang berkenaan," katanya.

Menurutnya lagi, lokasi Kampung Long Bemang agak jauh dari pekan Marudi dan memerlukan masa perjalanan antara lima hingga enam jam menaiki pacuan empat roda melalui jalan balak sebelum tiba ke penempatan masyarakat Kayan itu.

Sementara itu, di Limbang, hujan lebat turut mencetuskan banjir kilat yang menenggelami jalan raya di Kampung Merasam, jam 2 pagi hari ini.

"Berlaku banjir kilat menyebabkan jalan menuju Kampung Merutop terputus sehingga sukar dilalui oleh kenderaan ringan.

"Laluan ke lokasi Kampung Merutop (dari Kampung Merasam) adalah berbukit dan kejadian banjir itu tidak membabitkan kediaman penduduk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 12:26 PM