AZMAN Adam. FOTO OWEE AH CHUN
AZMAN Adam. FOTO OWEE AH CHUN
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 40,000 liter diesel bersubsidi yang diseleweng di sebuah kawasan perindustrian di Seremban, Negeri Sembilan, Selasa lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam, berkata selain diesel, turut disita sebuah lori, mesin kompressor, dokumen perniagaan dan peralatan lain dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM323,000.

Beliau berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya hasil risikan yang dilakukan sejak beberapa hari.

"Ketika serbuan, tiga lelaki warga tempatan yang mengaku sebagai pekerja di premis terbabit sedang melakukan kerja pemindahan minyak diesel daripada tangki simpanan ke sebuah lori tanker.

"Minyak diesel, dokumen perniagaan dan peralatan yang ditemui disita bagi tujuan siasatan lanjut.

"Ketiga-tiga lelaki warga tempatan itu juga ditahan bagi membantu siasatan kes terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kertas siasatan dibuka dan siasatan lanjut dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

"Siasatan bagi mengenalpasti individu atau syarikat terbabit dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel berkenaan termasuklah daripada mana ia diperoleh dan diedarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 10:45 AM