Ahmad Hasbi


Seremban: Masih tidak serik apabila ada pengusaha stesen minyak dikesan menjadi tali barut sindiket penyelewengan diesel subsidi.

Terbaru sebuah stesen minyak di Teluk Kemang, Port Dickson diambil tindakan selepas dikesan bersubahat menjual diesel subsidi kepada sindiket Isnin lalu.

Aktiviti penyelewengan membabitkan stesen minyak berkenaan dihidu sejak beberapa minggu lalu dan sebelum diserbu Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Isnin lalu.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDNHEP, Shamsul Nizam Khalil berkata, seorang pemandu lori tangki ditahan pihaknya selepas didapati membeli diesel bernilai RM1,000 dari stesen minyak itu.

"Hasil pemeriksaan ke atas lori itu menemui tangki tambahan yang boleh memuatkan diesel lebih 350 liter.

"Suspek bagaimanapun baru mengisi kira-kira 232 liter di dalam lori tangki itu. Hasil siasatan awal mendapati pemandu lori terbabit disyaki mengisi diesel sebanyak dua kali pengisian dengan jumlah setiap transaksi berjumlah RM500," katanya semalam.

Shamsul Nizam (kanan) menunjukkan lori tangki yang disita ketika melakukan penyelewengan minyak diesel dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Port Dickson. FOTO AZRUL EDHAM
Shamsul Nizam (kanan) menunjukkan lori tangki yang disita ketika melakukan penyelewengan minyak diesel dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Port Dickson. FOTO AZRUL EDHAM

"Kami menyita diesel, lori tangki, dua telefon bimbit, set dekoder, kamera litar tertutup (CCTV), invois atau resit jualan serta belian selain dokumen perniagaan dari stesen minyak untuk tujuan siasatan lanjut.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM27,795.50," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut terhadap kes ini dibuat mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti rantaian pengedaran diesel itu.

"KPDNHEP memberikan amaran keras terhadap mana-mana pengusaha stesen minyak khususnya 24 stesen minyak di kawasan Port Dickson supaya mematuhi undang-undang.

"Mana-mana individu persendirian yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan mengikut AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM 3,000,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Manakala bagi syarikat boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000.000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 5:01 PM