Pelakon, Mubarak Majid. Foto Fathil Asri
Pelakon, Mubarak Majid. Foto Fathil Asri
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon veteran, Mubarak Majid sentiasa percaya untuk diiktiraf menang anugerah tempatan bergantung kepada rezeki tanpa mengira tempoh pembabitan dalam industri seni.

Mubarak, 67, yang menang trofi Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem pendek Coofie & Sexy Dress di Festival Filem Antarabangsa Motion Horse (MHIFF) 2022 di India tahun lalu berkata masanya belum tiba dapat pengiktirafan tempatan.

"Saya pun tak tahulah bagaimana penilaian mereka (penganjur anugerah tempatan). Tak boleh nak kata apalah, perkara ini rezeki kan. Belum sampai lagi. Saya menang yang (di India) itu pun rezeki kan.

"Lagipun ia memang dibawa untuk pertandingan di luar pun kan. Filem itu memang rumit jika dibandingkan dengan filem panjang. Ia tak ditayangkan pun, cuma dipertandingkan. Kalau nak tonton ada di YouTube," katanya ditemui pada sidang media Seloka Legenda Waris Seni, di sini, hari ini.

Mubarak bagaimanapun bersyukur dia masih sihat memenuhi tuntutan berlakon. Tidak ketinggalan tawaran masih diterima daripada produksi membintangi pelbagai projek terutama drama.

"Saya memandu sendiri saja, tiada pembantu peribadi. Kadang-kadang isteri menemankan saya ke set penggambaran. Kalau kerja luar negeri pun saya masih lagi okay.

"Masih lagi dapat tawaran. Baru-baru ini dapat tawaran drama Astro. Tapi belum lagi diputuskan macam mana pasal skrip pun belum siap," katanya.

Pelakon filem Mat Kilau itu juga akan terus menjanjikan persembahan cemerlang dalam lakonan selagi kudratnya masih mengizinkan.

"Nak bertahan ini kena berlakon dengan ikhlas. Maksudnya persiapan untuk menjayakan sesuatu tawaran itu. Untuk menjiwai watak. Ini bidang untuk cari makan, kena jaga. Kalau kata lakonan tak bagus, orang tak panggil nanti," katanya.

Mubarak yang juga timbalan pengerusi Persatuan Melodi Kenangan Artis & Penggiat Seni Malaysia (Pemekar) adalah sebahagian daripada penganjur Seloka Legenda Waris Seni.

Acara terbabit bakal berlangsung pada 13 Oktober ini di Hotel Grand Barakah, Ampang, jam 8 malam.

Ia bakal menampilkan artis termasuk Fauziah atau Ogy Ahmad Daud, Yamani Abdillah, Hairie Kool, serta Fairuz dan Dilla Hussien.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 8:10 PM