ANGGOTA APM Kulim melakukan pemantauan di kawasan yang dilanda banjir di daerah Kulim. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM Kulim melakukan pemantauan di kawasan yang dilanda banjir di daerah Kulim. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Jumlah mangsa banjir di dua daerah di negeri ini mencatatkan seramai 239 mangsa daripada 61 keluarga yang ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak malam tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, setakat 8 pagi hari ini, lima PPS di daerah Kulim menempatkan seramai 231 orang daripada 59 keluarga yang dibuka sejak 8.30 malam tadi.

Beliau berkata, jumlah itu membabitkan 93 mangsa daripada 25 keluarga ditempatkan di PPS Surau Taman Sang Kancil, 27 mangsa daripada lapan keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Limau, enam mangsa dari sebuah keluarga di PPS Dewan Penghulu Paya Tok Betok, 91 daripada 21 keluarga di Masjid Sungai Seluang dan 14 mangsa daripada 4 di SK Permatang Tok Dik.

"Kawasan yang dinaiki air membabitkan Kampung Sungai Seluang di Mukim Sungai Seluang, Surau Taman Sang Kancil di Mukim Lunas, Kampung Paya Tok Betok di Mukim Sungai Ular dan Kampung Bukit Sarang Ayam di Mukim Padang Cina.

"Di daerah Bandar Baharu, sebuah PPS dibuka jam 11 malam tadi menempatkan seramai lapan mangsa daripada dua keluarga di PPS Surau Batu 18, " katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhammad Suhaimi berkata, hujan lebat sejak 6 petang semalam melebihi dua jam menyebabkan air melimpahi sungai secara mendadak dan menyebabkan rumah yang berhampiran sungai di dua daerah itu dinaiki air.

Beliau menasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran sungai supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berpindah sekiranya air semakin meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 9:23 AM