Sebahagian mangsa banjir yang masih ditempatkan di PPS Taman Sang Kancil. FOTO IHSAN APM
Sebahagian mangsa banjir yang masih ditempatkan di PPS Taman Sang Kancil. FOTO IHSAN APM
Zuliaty Zulkiffli

Kulim: Satu pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Penghulu Kampung Paya Betok ditutup hari ini menjadikan jumlah mangsa banjir di daerah ini berkurangan kepada 212 mangsa daripada 51 keluarga.

Jumlah itu menurun berbanding 231 mangsa daripada 59 keluarga pada jam 8 pagi hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim, Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata, PPS itu ditutup pada jam 8.30 pagi selepas air di kawasan kampung itu mulai surut.

Beliau berkata, empat PPS iaitu di Surau Taman Sang Kancil, Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Limau, Masjid Sungai Seluang dan SK Permatang Tok Dik masih beroperasi setakat ini.

"Trend air Sungai Kulim didapati menurun namun penduduk yang tinggal di kawasan sungai dinasihatkan mengambil langkah waspada sekiranya hujan lebat yang boleh mengakibatkan banjir.

"Punca banjir kilat berlaku adalah disebabkan hujan lebat melebihi dua jam di daerah ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 12:31 PM