Rosli Ilham


Kemaman: Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan anaknya yang sedang mandi di Sungai Lubuk Tapeng, Air Puteh Kemaman, hari ini.

Mangsa, Mohd Mirwan Mohd Remli, 40, seorang buruh kilang dikhuatiri lemas dan tengelam di dasar sungai terbabit, kira-kira jam 1.45 petang.

Ketua Polis Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sebelum kejadian mangsa bersama isterinya, Haryati Sulaiman, 36, serta anaknya datang ke sungai terbabit untuk memancing dan mandi di situ, kira-kira jam 9.30 pagi.

Menurutnya, anak mangsa, Muhammad Zafran Aidil, 12, tiba-tiba dibawa arus dan hanyut sehingga ke tengah sungai.

"Mangsa dikatakan bertindak untuk menyelamatkan anaknya itu namun isterinya kemudian mendapati suaminya itu tenggelam.

"Bagaimanapun, anak mangsa yang lemas itu berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada dahan pokok di situ," katanya.

Hanyan berkata isteri mangsa bergegas mendapatkan pertolongan daripada penduduk kampung sebelum datang ke Balai Polis untuk membuat laporan.

Sementara itu, Pegawai Operasi, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Hafiezul Mohamad berkata, seramai 16 pegawai termasuk anggota Bomba dari Balai Bomba Cheneh dan Chukai bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilakukan membabitkan kerjasama daripada pihak Polis, Rela dan penduduk kampung.

"Seramai tujuh anggota Bomba dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut menyertai operasi ini dan setakat ini usaha pencarian mangsa masih belum berhasil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 7:35 PM
PASUKAN penyelamat berusaha mencari seorang lelaki yang dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan anaknya. FOTO Rosli Ilham
PASUKAN penyelamat berusaha mencari seorang lelaki yang dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan anaknya. FOTO Rosli Ilham