Zaid Salim


Chukai: Kompaun RM10,000 yang dikenakan sebelum ini tidak memberi sebarang kesan kepada pengurusan sebuah kilang apabila dikompaun buat kali kedua kerana melakukan kesalahan sama, hari ini.

Kompaun itu dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman menerusi Ops Patuh terhadap kilang sarung tangan yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Kerteh, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kilang terbabit pernah dikompaun sebanyak RM10,000 kerana gagal mengawal selia pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kalangan pekerja.

"Hari ini, kilang berkenaan sekali lagi dikenakan kompaun RM10,000 kerana mengulangi kesalahan sama iaitu tiada penjarakan fizikal dan tidak membuat imbasan kod MySejahtera di kalangan pekerja.

"Dalam tempoh sebulan, kilang terbabit dikenakan kompaun sebanyak RM20,000 dengan kompaun pertama pada 2 Jun lalu," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Turut serta, Pegawai Penguatkuasa Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman, Rosli Abd Wahab dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman Asisten Superintendan Shahimi Mat Bakki.

KILANG berkenaan dikenakan kompaun sebanyak RM20,000 dalam tempoh sebulan kerana melakukan kesalahan berulang. FOTO Zaid Salim
KILANG berkenaan dikenakan kompaun sebanyak RM20,000 dalam tempoh sebulan kerana melakukan kesalahan berulang. FOTO Zaid Salim

Operasi bersepadu diketuai polis itu disertai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dengan keanggotaan seramai 28 orang bermula 10 pagi hingga 3 petang.

Hanyan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam melaksanakan undang-undang dengan mengenakan kompaun serta-merta walaupun atas kesalahan sama.

"Jika kesalahan sama berulang, kita tidak teragak-agak mencadangkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) untuk mengeluarkan arahan supaya kilang berkenaan ditutup," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 6:35 PM