MUHYIDDIN Yassin menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran tawaran Perikatan Nasional @PN_BEST di  Glenmarie Hotel & Golf Resort, Shah Alam.  FOTO ASYRAF HAMZAH
MUHYIDDIN Yassin menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran tawaran Perikatan Nasional @PN_BEST di Glenmarie Hotel & Golf Resort, Shah Alam. FOTO ASYRAF HAMZAH
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Bukan mempergunakan jentera Pas untuk memenangkan calon Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), sebaliknya ia adalah satu bentuk kerjasama, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, dakwaan itu tidak betul berikutan gabungan itu bekerjasama sebagai satu pasukan untuk kemenangan PN.

"Di sesetengah tempat di Utara, Pas sudah lama tertubuh manakala di banyak negeri lain seperti di Selatan, Pas pula kurang tetapi kita (Bersatu) lebih.

"Jadi nak kata guna jentera itu tidak betul… tetapi kita di bawah satu bumbung PN dan gabungan ini sudah mula bekerjasama sebagai satu pasukan.

"Saling membantu itu cara kita. Walaupun calon Pas, kita bekerja sebagai satu pasukan dan soal guna jentera siapa itu tidak berbangkit dan bukan masalah.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) pun kata kita dominan pasal kononnya Bersatu lebih besar menguasai Pas, itu juga tidak betul kerana bagi saya itu satu kesatuan dan perpaduan agak jitu dan kukuh yang memberi impak besar kepada negara kita," katanya dalam sesi temubual khas bersama kumpulan Media Prima Berhad di kediaman beliau, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ismail Sabri yang juga calon kerusi Parlimen Bera mengenai PN hanya mengambil kesempatan dan memperalatkan Pas untuk meraih undi dalam PRU-15.

Dalam pada itu, mengulas status keahlian dua ahli Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib yang bertanding atas tiket PN, Muhyiddin berkata, pihaknya tidak memberikan ketetapan, sebaliknya terpulang kepada calon berkenaan.

Katanya, kedua-dua calon berkenaan bebas untuk menentukan keanggotaan mereka sendiri dalam mana-mana parti komponen PN.

"Kemungkinan kerusi itu kalau (milik) Pas, mungkin mereka akan masuk Pas. Itu kemungkinanlah tetapi saya belum tanya Shahidan dan Ismail.

"Saya tak kisah pun mereka mahu jadi ahli Bersatu atau Pas, tetapi yang penting mereka bertanding atas watikah dan tiket PN. Kemenangan mereka adalah kemenangan PN," katanya.

Sebelum ini, Shahidan yang juga penyandang kerusi Parlimen Arau dan penyandang kerusi Parlimen Maran, Ismail mengejutkan semua pihak apabila bertindak mempertahankan kerusi masing-masing atas tiket PN pada PRU-15 ini.

Selain itu, penyandang kerusi Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin turut bertanding mempertahankan kerusi berkenaan dan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Titi Tinggi atas tiket Bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 2:52 PM