Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Dua bekas ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) menggunakan tiket Perikatan Nasional (PN) belum menjadi ahli PAS.

Mereka adalah penyandang Parlimen Maran dari Pahang, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib dan penyandang Parlimen Arau dari Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata kedua-dua kerusi berkenaan adalah sebelum ini adalah milik PAS sebelum diberikan kepada bekas ahli Parlimen BN itu.

"Kita mengizinkan dua kerusi diwakili PAS diberikan kepada calon bukan ahli PAS iaitu di Parlimen Arau dan Parlimen Maran.

"Kita mengeluarkan watikah dengan membenarkan logo PN atas kuota PAS di Arau begitu juga di Maran dengan kedua-dua mereka bekas ahli Parlimen BN.

"Mereka setakat ini belum menjadi ahli kita dan undang-undang PRU tidak semestinya menjadi ahli. Dalam konteks ini, PAS membenarkan calon menggunakan logo PAS sebagai memenuhi syarat untuk diterima pencalonan," katanya ketika sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, penyandang Parlimen Maran dan Arau digugurkan daripada calon BN pada PRU15 sebelum kedua-dua mereka mengambil keputusan untuk bertanding di kerusi berkenaan menggunakan tiket PN.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 12:43 PM