Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Beluran, Benedict Asmat (tengah) wakil tunggal Bumiputera bukan Islam dicalonkan UMNO Sabah pada PRU15. FOTO Facebook Benedict Asmat
Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Beluran, Benedict Asmat (tengah) wakil tunggal Bumiputera bukan Islam dicalonkan UMNO Sabah pada PRU15. FOTO Facebook Benedict Asmat
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Umno mengekalkan calon bukan Islam bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Beluran pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi meneruskan tradisi dan keunikan Umno di Sabah yang turut dianggotai Bumiputera bukan Islam.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, sebab itu, Umno Sabah mencalonkan bekas Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Benedict Asmat selaku ahli Umno Beluran berketurunan Kadazandusun untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Katanya, Umno hanya meletakkan wakil bukan Islam sebagai calon di Beluran sejak sekian lama, malah penyandang kerusi berkenaan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee adalah bekas pemimpin Umno bukan Islam yang diberi kepercayaan di Beluran selama lima penggal.

"Di Beluran dari dulu memang wakil kita bukan Islam dan kita kekalkan sebab inilah keunikan Umno di Sabah yang tiada di Semenanjung.

"Kita memilih Benedict kerana dia adalah pemimpin bukan Islam yang kita yakin dapat membawa perubahan di Beluran selepas tiada pembangunan ketara selama ini di bawah penyandangnya," katanya dalam satu kenyataan mengenai pemilihan Benedict, di sini, hari ini.

Parlimen Beluran adalah satu-satunya kerusi tradisi Umno yang diwakilkan kepada pemimpin Bumiputera bukan Islam di Sabah dengan Ronald selaku pemimpin pertamanya sejak 1999 sebelum meninggalkan Umno dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2019.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, bukan mudah untuk BN mendapatkan kerusi Parlimen Beluran berikutan penyandangnya tetap mahu mempertahankan kerusi itu atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang bekerjasama dengan BN menghadapi PRU-15.

"Bukan senang untuk mendapat kerusi ini kerana ia disandang Naib Presiden Bersatu (Ronald). Pemimpin Bersatu tetap minta kerusi ini tapi saya kata tidak, sebab saya kata BN mesti ada pemimpin bukan Islam yang ada dalam Umno di Beluran ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 8:21 AM