Fahmy A Rosli


Image

Tambun: Menyedari media sosial mampu mempengaruhi pengundi berusia 18 tahun ke atas untuk mengundi, UMNO Bahagian Tambun akan menggunakan khidmat pempengaruh bagi meraih sokongan terhadap calon Barisan Nasional (BN).

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah berkata, beliau akui terdapat sisi negatif strategi platform maya kerana terdapat pihak yang menyalahgunakan media sosial dengan menyebarkan berita tidak tepat.

Sebaliknya, beliau percaya jika media sosial digunakan sebaik mungkin pasti boleh menjadi senjata ampuh untuk menarik minta pengundi untuk memberi sokongan lalu membantu calon parti politik tertentu.

Sebagai calon bukan dalam kalangan orang muda, Aminuddin yang kini menginjak usia 59 tahun berkata seseorang calon tidak semestinya dipilih dalam kalangan golongan itu, sebaliknya cukup peka dan cakna berhubung kehendak serta aspirasi dimahukan orang muda.

Justeru, beliau berkata pentingnya untuk memanfaatkan medium dalam talian khususnya media sosial untuk menembusi golongan sasar iaitu orang muda.

"Tetapi dalam media sosial, kita usaha untuk lebih penembusan kepada golongan belia kerana penting kepada belia apabila pertama kali dapat mengundi dan diberi peluang (mengundi) tidak berminat khususnya bagi pengundi 18 tahun.

"Bukan calon itu kena muda tetapi calon itu kena mengetahui aspirasi orang muda, macam mana nak membantu menyelesaikan perkara yang mengongkong orang muda.

"Ia termasuk bagaimana nak selesaikan isu berkaitan orang muda, bagaimana nak menyelesaikan perkara yang menjadi harapan kepada orang muda," katanya kepada pemberita selepas sesi walkabout di Pasar Chemor di sini, pagi tadi.

Selain itu, Ketua UMNO Bahagian Tambun itu berkata strategi konvensional dengan turun padang mendekati pengundi juga masih perlu diteruskan.

Dengan pendekatan seperti itu, beliau berkata ia umpama cara untuk seseorang calon memperkenalkan diri kepada rakyat jelata.

"Kempen ini macam kita memperkenalkan diri saja. Apabila apabila kita bersemuka dengan pengundi, tidak ada kempen yang provokatif, cuma kempen yang sihat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 11:15 AM
DATUK Aminuddin bersama calon DUN N.23 Manjoi, Datuk Azizul Kama Abd Aziz beramah mesra dengan sebahagian peniaga dan pengunjung ketika sesi 'walkabout' dengan bakal pengundi di Pasar Pagi Chemor. FOTO Aizuddin Saad
DATUK Aminuddin bersama calon DUN N.23 Manjoi, Datuk Azizul Kama Abd Aziz beramah mesra dengan sebahagian peniaga dan pengunjung ketika sesi 'walkabout' dengan bakal pengundi di Pasar Pagi Chemor. FOTO Aizuddin Saad