WAN Saiful (dua dari kanan) menyerahkan bendera PN kepada wakil Bersatu Muar sebagai simbolik pelancaran jentera PRN Johor di Muar. FOTO Essa Abu Yamin
WAN Saiful (dua dari kanan) menyerahkan bendera PN kepada wakil Bersatu Muar sebagai simbolik pelancaran jentera PRN Johor di Muar. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


Muar: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengakui pihaknya sukar meramal undi golongan muda yang pertama kali terbabit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelak.

Pembabitan pengundi dalam kalangan golongan muda terutama mereka yang berusia 18 hingga 21 tahun bukan saja memberi cabaran kepada Bersatu malah kepada semua parti yang akan bertanding.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tidak ada parti yang boleh berbangga dengan menyifatkan mereka memiliki pengundi tetap kerana pengundi muda yang akan menjadi penentu dalam PRN Johor.

"Pengundi muda adalah satu kumpulan yang membawa cabaran kepada semua parti, kita kena tunjuk kesungguhan dan keikhlasan mendekati mereka dan buat tawaran bermakna kepada anak muda.

"Ini satu perkara positif untuk demokrasi dan politik, selama ini ada parti yang boleh kata dia selesa ada pengundi tegar yang macam mana pun akan undi dia.

"Tetapi dengan anak muda ini, kita tak boleh baca kerana ada kemungkinan mereka undi pihak A, undi B dan ada kemungkinan juga tidak mengundi," katanya ketika sidang media selepas menghadiri program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Kampung Parit Haji Ali, malam tadi.

Beliau berkata, jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus dengan pertambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18.

"Justeru, tugas berat kini diberikan kepada Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan sayap Pemuda Perikatan Nasional (PN) untuk melakukan strategi mendekati golongan muda.

"PN juga akan membariskan calon-calon yang seimbang dalam PRN Johor iaitu terdiri daripada golongan muda, wanita, individu berlatar belakang profesional dan calon yang berpengalaman," katanya.

Wan Saiful berkata, pihaknya sudah mendapat nama calon daripada peringkat negeri dan parti gabungan dalam PN dan masih terdapat beberapa lagi proses yang perlu dilalui.

"Kita kena ingat bahawa Bersatu dalam PN, jadi PN yang akan buat keputusan berkenaan.

"Suasana di Johor agak berbeza, negerinya luas dan demografi yang pelbagai jadi sudah tentu strategi kita pasti berbeza," katanya.

Sementara itu, pihaknya berharap terdapat kelonggaran dapat diberikan ketika tempoh kempen PRN Johor bagi memastikan semua parti boleh menyampaikan mesej mereka kepada rakyat dalam cara paling berkesan.

"Walaupun kaedah dalam talian perlu diberi keutamaan, ramai rakyat masih mahu ceramah umum dan kaedah rumah ke rumah dibenarkan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 11:10 AM