FAIZAL tiba bagi penamaan calon PRU15 di Dewan Sri Kledang, Institut Latihan Perindustrian Ipoh. FOTO Aizuddin Saad
FAIZAL tiba bagi penamaan calon PRU15 di Dewan Sri Kledang, Institut Latihan Perindustrian Ipoh. FOTO Aizuddin Saad
Muhamad Lokman Khairi


Image

Tambun: Suasana di Pusat Penamaan Calon bagi Parlimen Tambun hangat seketika apabila penyokong Pakatan Harapan (PH) melaungkan perkataan 'pengkhianat' ketika calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melintas di hadapan mereka.

Perkara itu terjadi selepas proses penamaan calon diumumkan tamat oleh Pegawai Pengurus Pusat Penamaan Calon, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip pada 10.50 pagi tadi.

Timbalan Presiden BERSATU itu secara spontan menunjukkan isyarat tangan meminta penyokong PH melaungkan dakwaan itu dengan lebih kuat lagi.

Ahmad Faizal kemudiannya memimpin laungan 'Perikatan Nasional' sebaik tiba di hadapan penyokong PN.

Menurut Ahmad Faizal, beliau langsung tidak gentar untuk berdepan dengan saingan daripada tiga calon lawan.

"Kita ada sokongan anak-anak muda. Lihat betapa meriah sokongan mereka hari ini.

"Dia ada dua mata, saya ada dua mata. Dia ada satu hidung, saya ada satu hidung. Kenapa saya perlu takut?" kata beliau kepada pemberita.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ahmad Faizal selalu penyandang kerusi Parlimen Tambun berdepan saingan empat penjuru apabila dicabar Presiden PKR merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah mewakili Barisan Nasional (BN) dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Abdul Rahim Tahir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 12:10 PM