KHAIRY menyampaikan ucapan pada Program Kesedaran Gelombang Baharu Covid-19. FOTO Bernama
KHAIRY menyampaikan ucapan pada Program Kesedaran Gelombang Baharu Covid-19. FOTO Bernama
BERNAMA

Sungai Buloh: Bakal calon Barisan Nasional (BN) bagi merebut kerusi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini, Khairy Jamaluddin berkata, pengisytiharan harta kebiasaannya hanya dibuat selepas lantikan jemaah menteri.

Penyandang kerusi Parlimen Rembau itu berkata, beliau sebelum ini pernah mengisytiharkan harta sewaktu menjawat jawatan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

"Bagi pengisytiharan harta, kita buat semasa lantikan ke jemaah menteri dan saya pun dah isytihar harta kepada SPRM, (malah) perkara itu juga telah dipaparkan di dalam website (laman sesawang) SPRM sewaktu saya dilantik menjadi menteri Mosti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Kesedaran Gelombang Baharu Covid-19 di Kompleks Perhebat, di sini, hari ini.

Semalam, calon Parlimen Pandan yang juga Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli tampil mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih RM18.85 juta, susulan syarat PKR supaya calonnya dalam pilihan raya umum pada 19 November ini untuk berbuat demikian.

Khairy yang juga Menteri Kesihatan turut menasihati individu yang belum mendapatkan suntikan dos penggalak Covid-19 agar segera berbuat demikian susulan peningkatan jangkitan kes virus itu sejak kebelakangan ini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai serta bakal calon PRU-15 yang akan bertanding jika mengalami sebarang gejala atau kontak rapat agar melakukan ujian kendiri dan melaporkannya di MySejahtera.

Sementara itu, mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan yang berkata, Sungai Buloh adalah kerusi selamat buat penyandang kerusi Parlimen Rembau itu, Khairy cuma memberikan jawapan ringkas:

"Saya akan berusaha bersungguh untuk berjumpa pengundi Sungai Buloh sewaktu kempen nanti, insya-Allah," katanya.

Semalam Mohamad berkata, keputusan menempatkan Khairy bertanding di Parlimen itu kerana penerimaan jentera parti yang amat mengalu-alukan menteri kesihatan berkenaan untuk bertanding di Sungai Buloh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 1:36 PM