KHAIRY Jamaluddin diumumkan bertanding di Parlimen Sungai Buloh di Majlis Pengumuman Calon PRU-15 Barisan Nasional di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah
KHAIRY Jamaluddin diumumkan bertanding di Parlimen Sungai Buloh di Majlis Pengumuman Calon PRU-15 Barisan Nasional di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah
Irwan Shafrizan Ismail

Kuala Lumpur: Calon Barisan Nasional Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin mengakui cabaran besar menanti dirinya yang bertanding di kawasan itu.

Menteri Kesihatan itu menerusi satu hantaran di Twitter malam ini bagaimanapun memaklumkan akan melakukan yang terbaik dan meyakinkan seramai mungkin pengundi Sungai Buloh.

"Alhamdulillah saya baru sahaja diumumkan sebagai calon BN bagi kerusi P.107 Sungai Buloh.

"Walaupun cabaran besar, saya akan buat yang terbaik untuk jumpa dan meyakinkan seramai mungkin pengundi Sungai Buloh untuk memberi peluang kepada saya," katanya.

Sebelum ini, penyandang kerusi Parlimen Rembau itu dikaitkan dengan beberapa kerusi Parlimen iaitu Tampin, Kuala Pilah dan Port Dickson di Negeri Sembilan serta Alor Gajah, Melaka.

Khairy tidak mempertahankan kerusi Rembau yang disandang sejak 2008 selepas Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, bertanding di kerusi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 11:19 PM