DARI kiri; Azmin, Zuraida dan Rashid Hasnon. FOTO Arkib NSTP
DARI kiri; Azmin, Zuraida dan Rashid Hasnon. FOTO Arkib NSTP
Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Enam daripada 11 bekas Ahli Parlimen PKR yang mendalangi 'Langkah Sheraton' dan mencetus krisis politik berpanjangan dua tahun lalu, kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Insiden Langkah Sheraton pada 24 Februari 2020 menyaksikan 11 Ahli Parlimen diketuai bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali keluar parti.

Tindakan itu menyusul Bersatu yang mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) pada hari sama, menyebabkan gabungan yang menjadi kerajaan ketika itu hilang majoriti.

Namun, Dalam PRU-15 semalam, enam dalang Langkah Sheraton dihukum rakyat, dengan Mohamed Azmin yang cuba mempertahankan kerusi Parlimen Gombak, kalah di tangan protegenya yang mewakili PH, Datuk Seri Amirudin Shari dengan majoriti 12,729 undi.

Selain itu, bekas Naib Presiden PKR yang kini mengetuai Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin juga gagal mempertahankan kerusi Parlimen Ampang yang dimenanginya sejak tiga penggal lalu.

Zuraida yang percaya nama dan baktinya cukup besar untuk mengekalkan penguasaan di Ampang, tersungkur apabila hanya menerima 4,589 undi, berbanding calon Pakatan Harapan (PH), Rodziah Ismail yang menang bergaya dengan majoriti 29,681.

Datuk Mohd Rashid Hasnon turut gagal dalam usaha mengekalkan penguasaan di Parlimen Batu Pahat, apabila kalah di tangan calon PH, Onn Abu Bakar dengan majoriti 15,972 undi.

Usaha Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar untuk menumbangkan calon gergasi daripada PH di Parlimen Bandar Tun Razak juga tidak kesampaian, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, menang dengan majoriti 9,817 undi.

Turut tersungkur dalam usaha mengekalkan kerusi masing-masing adalah Datuk Mansor Othman yang kalah di Nibong Tebal di tangan Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek dengan majoriti 16,293 undi.

Seorang lagi bekas wakil rakyat PKR yang kalah dalam PRU-15 adalah bekas Menteri Kerja Raya, Baru Bian yang bertanding atas tiket Parti Sarawak Bersatu.

Beliau kalah di Parlimen Lawas selepas ditumbangkan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Henry Sum Agong dengan majoriti 5,677 undi.

Situasi berbeza dialami empat Empat lagi wakil rakyat dalang Langkah Sheraton, antaranya Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang berjaya membuktikan dirinya masih berbisa apabila berjaya mengekalkan penguasaan di Parlimen Indera Mahkota dengan majoriti 8,399 undi.

Tiga lagi wakil rakyat dalang Langkah Sheraton yang turut menang dalam PRU15 ialah Datuk Ali Biju (PN-Saratok), Datuk Jonathan Yasin (bertanding bawah tiket Gerakan Rakyat Sabah (GRS) di Ranau) dan Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo).

Seorang lagi wakil rakyat yang turut terbabit dalam Langkah Sheraton ialah bekas Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar yang kini bersama PBM, namun tidak bertanding dalam PRU-15.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 2:37 PM