SAIFUDDIN Nasution melawat tapak projek menaik taraf LRA Jenun Baru. FOTO Bernama
SAIFUDDIN Nasution melawat tapak projek menaik taraf LRA Jenun Baru. FOTO Bernama
BERNAMA

Pendang: Pendedahan kes kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik bukan untuk memburukkan imej Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebaliknya ia bagi menunjukkan disyaki wujud isu kepincangan pentadbiran kerajaan negeri.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendedahan beliau mengenai isu kecurian REE itu hanyalah permulaan kepada siri pendedahan lain berkaitan isu berkenaan.

"Tak ada plot (memburukkan imej Muhammad Sanusi) dalam isu ini kerana hakikatnya isu kecurian REE ini menunjukkan beberapa isu berbangkit termasuk dalam kes membawa masuk pekerja asing dari China selain tangkapan dan kompaun yang telah dikeluarkan.

"Saya percaya siasatan akan diteruskan melibatkan beberapa agensi. Ini kerana tangkapan pertama dilakukan pada Januari lepas yang kemudian membawa kepada kertas siasatan dibuka Jabatan Perhutanan serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG)," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah berkata demikian kepada pemberita selepas sesi taklimat projek menaik taraf Loji Rawatan Air Jenun Baru di sini hari ini.

Saifuddin Nasution mengulas laporan media semalam bahawa Muhammad Sanusi mendakwa terdapat rancangan untuk memburukkan imejnya dan cubaan mengaitkannya dengan penyelewengan dalam isu perlombongan REE di Kedah.

Media juga melaporkan Saifuddin Nasution semasa berucap pada Jelajah MADANI Dewan Undangan Negeri Suka Menanti di Alor Setar malam tadi, mendakwa Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah mengetahui isu kecurian REE di kawasan Bukit Enggang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 7:17 PM