BENDERA Korea Selatan dikibarkan separuh tiang susulan kejadian rempuhan. FOTO AFP
BENDERA Korea Selatan dikibarkan separuh tiang susulan kejadian rempuhan. FOTO AFP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah menzahirkan ucapan takziah Malaysia kepada rakyat Korea Selatan atas insiden rempuhan pada pesta Halloween di Itaewon, Seoul, Sabtu malam.

Beliau turut melahirkan rasa sedih atas perkembangan tragedi itu yang telah mengorbankan 153 orang.

"Bagi pihak rakyat Malaysia, saya menzahirkan ucapan takziah kepada rakyat Korea Selatan dan mendoakan supaya keluarga mangsa yang terbabit diberi kekuatan dan semua yang tercedera diberikan kesembuhan," katanya di akaun Twitternya, malam ini.

Tambahnya Kementerian Luar melalui Kedutaan Malaysia di Seoul akan terus memantau situasi itu.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular agar berhubung dengan pihak kedutaan melalui talian +821089748699.

Sementara itu, 19 daripada 153 yang terkorban dikenal pasti sebagai warga asing berasal dari Iran, Uzbekistan, China dan Norway manakala 82 lagi dilaporkan cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 10:47 PM